INDIA, 20 DIS – Seorang wanita telah memfailkan kes kekejaman terhadap suaminya di Mahkamah Tinggi Kanataka kerana mendakwa dia lebih peduli tentang kucing peliharaan mereka berbanding dirinya.
Menurut laporan Oddity Central, Hakim M. Nagaprasanna menyatakan bahawa tidak ada tuduhan khusus kekejaman atau gangguan yang dibuat dalam aduan itu.
Plaintif mendakwa setiap kali dia menegur suaminya tentang tingkah lakunya, mereka pasti akan bertengkar dan menghina satu sama lain.
Si isteri juga mengadu tentang serangan dan cakaran kucing beberapa kali namun sang suami tidak melakukan apa-apa mengenainya.
“Aduan ini adalah mengenai perkahwinan dan hidup bersama, tetapi inti tuduhan itu berpunca daripada pertengkaran mengenai kucing peliharaan yang berada di rumah suami,” kata Hakim Nagaprasanna. “Tuduhan itu adalah terhadap suami yang mementingkan kucing daripada isteri,” tambahnya.
“Isu ini bukan mengenai permintaan mas kawin atau serangan atas permintaan mas kawin atau kekejaman yang dilakukan oleh suami. Masalahnya adalah berkaitan dengan kucing peliharaan dan kucing menyerang atau mencakar isteri beberapa kali.”
Selepas mendengar permintaan yang pelik itu, mahkamah akhirnya menghentikan siasatan lanjut terhadap suami dan menegur wanita itu kerana aduan yang tidak penting, sambil menambah bahawa ia adalah jenis permintaan yang melambatkan sistem keadilan India.
“Ia adalah kes-kes remeh yang telah melambatkan sistem keadilan jenayah hari ini dan jika siasatan dibenarkan dalam kes itu, ia akan menambah satu lagi kes kepada sistem keadilan yang sudah bertimbun,” kata mahkamah. – Agensi