Hanya tunduk dan kelihatan sayu, isteri kepada pelakon dan pengacara Fikry Ibrahim iaitu Siti Khalizah Alihan memilih berdiam diri selepas sesi sebutan bagi kes perceraian membabitkan mereka.
Usaha pengamal media untuk mendapatkan kenyataan daripada Khalizah juga gagal apabila wanita itu berlalu pergi selepas sejam melalui proses itu di hadapan hakim syarie, Abdul Fattah Datuk Kamarudin.
Bagaimanapun, isteri kepada Fikry itu sempat memohon maaf kepada wakil media yang hadir kerana belum bersedia untuk memberikan komen berhubung kes berkenaan.
“Saya minta maaf. Saya tidak boleh nak beri apa-apa komen sekarang,” katanya kepada mStar ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada Khamis.
Permohonan cerai berkenaan difailkan mengikut Seksyen 47 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984.

Dalam pada itu, peguam syarie yang mewakili Khalizah iaitu Wan Muhammad Afiq Mohd Razib menjelaskan permohonan cerai itu dibuat selepas mereka tidak lagi mempunyai persefahaman.
“Saya hanya boleh maklumkan punca perceraian adalah tiada persefahaman. Pihak defendan sudah terima surat permohonan cerai daripada pihak kami,” ujarnya.
Kata Afiq, Khalizah juga memaklumkan dia masih memberikan ruang kepada Fikry untuk berdamai.
“Khalizah memfailkan cerai sekitar bulan lalu. Buat masa ini, Khalizah masih beri ruang perdamaian,” katanya.
Dalam masa sama, usaha mStar untuk mendapatkan sebarang kenyataan daripada Fikry tidak berjaya apabila dia tidak menjawab sebarang panggilan yang dibuat.
Mahkamah menetapkan sebutan kedua kes pasangan itu pada 10 September depan.
Sebelum ini, rumah tangga Fikry didakwa dilanda badai apabila isterinya nekad memfailkan permohonan cerai pada Mei lalu.
Sebelum ini, mStar melaporkan Khalizah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sekitar Mei lalu.
Lebih menguatkan spekulasi itu, Khalizah dilihat hadir ke mahkamah sekitar jam 9:40 pagi Khamis dengan memakai pakaian serba hitam dan pelitup muka dengan ditemani peguamnya.
Bagaimanapun, kelibat Fikry tidak kelihatan di mahkamah terbabit. – Agensi