Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JULAI – Seorang wanita yang menggugurkan kandungan yang dirahsiakannya daripada suaminya telah dijatuhkan hukuman penjara enam bulan, Sabtu lalu.
Hakim Mahkamah Perantaraan, Hajah Hazarena binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Haji Hurairah mendengar daripada Timbalan Pendakwa Raya Raihan Nabilah binti Ahmad Ghazali bahawa defendan, Nuralinda binti Abdul Majid @ Linda anak Maji, 36 tahun, mengandung 23 minggu dan telah merahsiakannya daripada suaminya atas alasan peribadi.
Nuralinda menghadiri temu janji doktor pada Mac 2021 apabila dia diberitahu bahawa dia akan bersalin pada Julai tahun itu, sebelum dia bercadang untuk menggugurkan kandungannya.
Ibu kepada dua anak itu kemudian meminta bantuan seorang kenalan untuk mendapatkan ubat bernilai $50 yang boleh menyebabkan keguguran kandungan.
Pada 31 Mac 2021, defendan mula menelan ubat tersebut dan keesokannya defendan berasa sakit perut semasa menemani bapanya untuk temu janji doktor di sebuah pusat kesihatan.

Setelah menderita kesakitan sepanjang perjalanannya ke pusat kesihatan, akhirnya kira-kira jam 10 pagi, defendan menuju ke tandas pusat kesihatan dan mengeluarkan janin.
Dia kemudian membungkusnya dengan kertas tandas, meletakkannya dalam beg plastik di dalam beg tangan dan menyembunyikannya dalam bonet keretanya.
Menjelang jam 2 petang, defendan memghubungi kenalannya untuk membantunya mengebumikan janin.
Kedua-duanya kemudian membeli alat untuk membersihkan janin di tandas dewan serba guna.
Defendan kemudian menghantar kenalannya kembali ke tempat kerjanya pada jam 4:30 petang, yang kemudiannya menggali kubur cetek berhampiran dan mengebumikan janin defendan.
Bagaimanapun perbuatan defendan terbongkar semasa temu janji kedua bersama doktor pada 5 April 2021, apabila defendan didapati telah menggugurkan kandungannya.
Laporan polis telah dibuat pada 6 April 2021 yang membawa kepada siasatan dan penemuan mayat janin itu pada 8 April 2021.
Defendan juga mengakui dia merasakan pergerakan janin semasa dirinya hamil, sebelum menggugurkannya.