Thursday, December 26, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Isteri kuat berleter, mudah emosi

    Saya seorang suami yang sudah mendirikan rumah tangga selama tujuh tahun dan mempunyai dua anak. Mungkin ada di antara pembaca yang faham dan pernah berada di tempat saya. Rumah tangga saya aman, tetapi ada satu cabaran besar yang saya hadapi setiap hari – isteri saya seorang yang kuat berleter dan mudah emosi.

    Sejujurnya, isteri saya seorang wanita yang baik hati dan sangat prihatin terhadap keluarga. Cuma, kadang-kadang cara dia menyampaikan perasaan atau pandangannya itu menguji kesabaran saya. Setiap kali saya buat silap, kecil atau besar, pasti ada leteran yang menyusul. Kadang-kadang saya rasa macam tak boleh bernafas. Daripada perkara kecil seperti terlupa buang sampah hinggalah isu yang besar, setiap satunya seperti ada skrip panjang yang perlu saya dengar.

    Ada hari-hari di mana saya betul-betul hilang sabar, tetapi saya pendamkan saja. Bila saya cuba menegur atau meminta dia bertenang, keadaan sering menjadi lebih tegang. Bila saya mendiamkan diri pula, dia kata saya tak peduli atau tak cuba memahami apa yang dia rasa. Jadi, saya tersepit di antara dua situasi yang buat saya rasa serba salah.

    Saya tahu, mungkin dia lelah dengan tugasnya sebagai isteri, ibu, dan pekerja yang banyak me-ngorbankan masa dan tenaga. Tetapi dalam masa yang sama, saya juga memerlukan ruang untuk diri sendiri dan ketenangan apabila di rumah. Setiap hari saya cuba beri yang terbaik, tetapi apabila situasi ini berulang, saya mula rasa hilang punca.

    Saya benar-benar ingin tahu, adakah cara yang lebih baik untuk menangani masalah ini tanpa mencetuskan pergaduhan? Bagaimana saya boleh menyampaikan rasa hati saya tanpa menyinggung perasaannya? Saya tahu ramai suami mungkin menghadapi masalah serupa, dan saya berharap boleh mendapat panduan atau tips daripada mereka yang pernah melalui situasi seperti ini.

    Gambar Canva

    Saya berharap mendapat pandangan yang dapat membantu mengukuhkan hubungan kami, dan lebih penting lagi, mencipta suasana yang damai untuk kami sekeluarga.

    Amir

    NASIHAT DANG MP – 

    Terima kasih kepada Amir kerana berkongsi masalah awda. Seperti yang diceritakan, isterinya seorang wanita yang baik dan prihatin, cuma caranya menyampaikan perasaan kadang-kadang menguji kesabaran Amir.

    Dang MP cadangkan supaya cubalah berbincang mengatasi masalah ini ketika kedua-dua pihak sudah tenang.

    Elakkan berbincang ketika emosi memuncak, dan cuba fahami sumber stres yang dihadapi isteri, seperti tanggungjawab sebagai ibu, isteri, atau pekerja.

    Tunjukkan juga penghargaan terhadap usaha dan pengorbanannya dalam menjaga keluarga setiap hari melalui pemberian hadiah kecil atau makanan kegemarannya tanpa menunggu hari-hari istimewa.

    Selain itu, cubalah pergi bercuti walaupun tidak jauh dan melibatkan kos yang tinggi.

    Ini adalah untuk menenangkan fikirannya dan perasaannya seketika dan untuk melupakan sebentar tentang komitmen yang dihadapi berhari-hari di rumah.

    Dang MP juga menasihatkan supaya jangan malu untuk mendapatkan perkhidmatan profesional seperti kaunseling, nasihat daripada kedua-dua ibu bapa atau sahabat yang boleh dipercayai dalam menghadapi masalah berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda