Isteri pelawak dan penyampai radio Nabil Ahmad iaitu Nazirah Ayub menyifatkan kontroversi membabitkan suaminya ketika ini sebagai satu peringatan daripada Allah SWT.
Nazirah atau mesra disapa Zira bagaimanapun meminta suaminya itu tidak terlalu bimbang akan perkara itu kerana yakin ia dapat diselesaikan dengan baik.
“Dad (panggilan Nabil), jangan risau semuanya akan baik-baik sahaja.
“Ambil ini sebagai peringatan Allah yang ingin kita selalu ingat kepada-Nya dalam susah dan senang,” katanya.
Zira berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya kelmarin.
Dalam pada itu, Zira enggan menghiraukan kecaman dilemparkan warganet terhadap Nabil kerana dia lebih mengenali suaminya itu.
Kata Zira, walau apa pun yang berlaku dia tetap akan memberi sokongan dan menunjukkan rasa kasih terhadap pelawak berkenaan.
“Awak ada kami yang sentiasa menyokong dan menyayangi awak. Awak seorang yang penyayang, prihatin dan ayah yang baik.
“Saya adalah peminat awak sampai bila-bila. Mereka boleh cakap buruk tentang awak tetapi saya lebih mengenali awak berbanding mereka,” ujarnya.
Pada Rabu, Nabil bersama dua lagi penyampai segmen 3 Pagi Era iaitu Azad Jazmin dan Radin dipanggil ke Bukit Aman bagi memberi keterangan susulan penularan video mendakwa mereka mempersenda upacara agama lain.
Pihak Astro Audio pula dalam tindakan segera merehatkan ketiga-tiga penyampai radio tersebut sehingga siasatan kes selesai.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengeluarkan notis kepada Astro Audio untuk memberi kerjasama penuh dan akan menyediakan maklum balas seperti diminta. – Agensi
