BEIRUT, 21 MEI – Isteri Presiden Syria, Bashar al-Assad, Asma al-Assad, telah disahkan menghidap leukemia, kata pejabat presiden hari ini. Wanita kelahiran Britain itu sebelum ini disahkan sembuh daripada kanser payudara pada 2019.
“Asma telah disahkan menghidap leukemia myeloid akut,” kanser yang agresif pada sel darah putih yang terlibat dalam memerangi jangkitan, katanya dalam satu kenyataan.
Beliau akan menjalani ‘protokol rawatan khas’ yang memerlukan penjarakan sosial untuk mengelakkan jangkitan, menurut kenyataan itu, dan menambah bahawa dia akan “menarik diri buat sementara waktu daripada semua penglibatan langsung sebagai sebahagian daripada rancangan rawatannya.” Pada 2019, Asma menyatakan bahawa beliau bebas sepenuhnya daripada kanser payudara selepas bertarung melawan penyakit itu selama setahun.
Beliau dilahirkan di Britain pada 1975, dan bekas jurubank pelaburan itu menggambarkan dirinya sebagai penyokong hak progresif dan sisi moden dinasti Assad sebelum tercetusnya perang saudara yang kejam di negara itu pada 2011.
Asma sering menemani suaminya semasa lawatan rasmi yang jarang diadakan di luar negara dengan rakaman pasangan presiden menghadiri pelbagai majlis yang dianjurkan kerajaan sering dikongsi dalam media rasmi.
Wanita pertama itu malah dipuji sebagai A Rose in the Desert dalam cerita muka depan yang terkenal dalam majalah Amerika Syarikat, Vogue sebelum pujian bertukar menjadi kutukan atas sokongannya terhadap suaminya yang memusnahkan protes pro-demokrasi.
Beliau menubuhkan badan amal Syria Trust for Development, beribu pejabat di Damsyik, yang merupakan salah satu pertubuhan yang jarang diberikan kebenaran untuk beroperasi di kawasan yang dikuasai oleh kerajaan. – AFP