TURKIYE, 7 FEB – Seorang wanita Turkiye baru-baru ini menuntut cerai ke atas suaminya kerana mendakwa dia jarang mandi, berbau peluh dan hanya memberus gigi sekali atau dua dalam masa seminggu.
Menurut Oddity Central yang memetik media Turkiye melaporkan bahawa wanita itu, yang hanya dikenali sebagai A.Y, memfailkan cerai ke atas suaminya, yang hanya dikenali sebagai C.Y, disebabkan oleh kurang menjaga kebersihan diri.
Peguam plaintif memberitahu mahkamah di Ankara bahawa defendan memakai baju yang sama sekurang-kurangnya lima hari berturut-turut, jarang mandi dan sentiasa berbau peluh.
Saksi yang dipanggil telah mengesahkan dakwaan tersebut, termasuk kenalan dan beberapa rakan sekerja suami.
Kesemua mereka telah memberi keterangan yang mengesahkan defendan kurang menjaga kebersihan diri.

Mahkamah telah menerima tuntutan wanita tersebut untuk meminta cerai dan turut mengarahkan suami membayar AS$16,500 sebagai ganti rugi kepada bekas isterinya itu.
“Suami mesti memenuhi tanggungjawab kehidupan bersama,” peguam A.Y, Senem Yilmazel memberitahu akhbar Turkiye, Sabah.
“Sekiranya kehidupan bersama menjadi bebanan disebabkan oleh tingkah laku, pasangan mempunyai hak untuk menuntut cerai.
“Kita mesti berhati-hati dalam hubungan dengan manusia! Oleh sebab itu, kita mesti memberikan perhatian terhadap tingkah laku dan kebersihan.”
Dalam undang-undang sivil Turkiye, alasan perceraian yang diterima dibahagikan kepada dua kategori iaitu sebab khas dan sebab umum.
Alasan umum termasuk menjadikan kehidupan semakin membebankan bagi satu atau kedua-dua pasangan.
Dalam kes ini, kebersihan diri suami yang tidak terurus telah dianggap sebagai alasan yang sah untuk perceraian oleh Mahkamah Keadilan Wilayah dan Mahkamah Rayuan Tinggi, yang keputusannya telah muktamad baru-baru ini.
Dokumen dari mahkamah menunjukkan bahawa, menurut keterangan saksi, C.Y hanya mandi sekali setiap tujuh hingga 10 hari dan hanya menggosok gigi sekali atau dua kali seminggu, yang menyebabkan nafasnya berbau hingga ke tahap ‘tidak tertahan’. – Agensi

