Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JAN – Kemuncak Majlis Perkahwinan Diraja berlangsung hari ini, dengan Istiadat Bersanding Pengantin Diraja antara Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dengan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah binti Adam secara penuh tradisi, berseri-seri serta meriah di Balai Singgahsana Indera Buana, Istana Nurul Iman.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan berangkat ke majlis istiadat berkenaan.
Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Bini Hajah Faizah; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Turut berangkat ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Nor’ain, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Nasibah.
Hadir sama ialah Datin Paduka Seri Hajah Mariam binti Haji Abdul Aziz.
Istiadat Bersanding Pengantin Diraja didahului dengan keberangkatan tiba kerabat diraja dan ketibaan tetamu khas negara, para pembesar negara serta para jemputan memasuki Balai Singgahsana Indera Buana.
Kemudian, YAM Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah bergerak menuju ke Balai Singgahsana Indera Buana dengan diapit oleh isteri Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin dan isteri Yang Amat Mulia Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Basit dengan diiringi oleh isteri Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi, isteri Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham, isteri Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew, isteri Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz, isteri Yang Amat Mulia Pengiran Indera Negara Pengiran Anak Haji Puteh dan isteri Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Maharaja Diraja Dato Seri Paduka Haji Abdul Wahab serta Yang Dimuliakan Pehin Jawatan Bini Datin Paduka Hajah Siti dan diiringi oleh Juru Bini Hajah Rokiah, diikuti oleh seorang Pengiran Perempuan Berbaju Gadong dan seorang Dayang-Dayang yang membawa Kaskol Langguai, tujuh orang Pahawai Perempuan yang memegang satu Puan, satu Tarian, satu Kabok dan Panastan, satu Kiap, satu Chupu, satu Pasigupan dan satu Kaskol, Dian 16 yang dibawa oleh 16 Dayang-Dayang.
Sementara itu, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berangkat menuju ke Balai Singgahsana Indera Buana dengan diapit oleh DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan diiringi oleh Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz, Yang Amat Mulia Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew, YAM Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Basit dan YAM Pengiran Indera Negara Pengiran Anak Haji Puteh dengan didahului oleh 40 Sinipit yang dibawa oleh Awang-Awang, diikuti dua Dian Bunga, dua orang Hulubalang, Hulubalang Diraja membawa Pemuras dan Karga, dan Hulubalang Asgar membawa Kelasak dan Kampilan, sebatang Dian Tunggal dibawa oleh Awang-Awang berjalan di hadapan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen serta diiringi oleh dua orang Kanak-Kanak Pahawai Lelaki, iaitu seorang memegang Kiap dan seorang memegang Pasigupan dan diikuti oleh Yang Dimuliakan Pehin Penyurat Awang Maidin dan Yang Dimuliakan Pehin Penyurat Haji Awang Osman serta diikuti oleh Perhiasan Empat DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen yang dibawa oleh empat orang Pembawa Perhiasan Empat, seorang membawa Payung, seorang membawa Pedang dan Perisai, seorang membawa Tumbak Bendarangan dan seorang membawa Kaskol (berjalan mengiringi di belakang DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen), diikuti oleh seorang Pengiran Perempuan Berbaju Gadong dan seorang Dayang-Dayang yang membawa Kaskol Langguai, tujuh orang Pahawai Lelaki yang memegang satu Puan, satu Tarian, satu Kabok dan Panastan, satu Kiap, satu Chupu, satu Pasigupan dan satu Kaskol, Dian 16 yang dibawa oleh 16 Awang-Awang serta Alat-Alat Kebesaran Diraja yang terdiri daripada 16 Pedang dan Perisai, 16 Tumbak Bendarangan dan lapan Kabok dan Panastan yang dibawa oleh Awang-Awang.
Setelah sampai di Singgahsana, Baginda Sultan terus menapakkan tangan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen ke atas kepala YAM Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah.
Istiadat Bersanding Pengantin Diraja dimulakan dengan bacaan selawat oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz dengan diiringi oleh tembakan meriam sebanyak 17 das.
Kemudian, YAM Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris membaca Surat Pengisytiharan.
Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan bagi memberkati istiadat yang penuh sejarah itu.
Kedua-dua pengantin diraja kemudiannya dijunjung berangkat dari majlis oleh DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.
Sejurus selepas itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menitahkan supaya majlis ditutup sebelum Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri berangkat ke bilik khas diikuti kerabat diraja.