Saturday, April 26, 2025
31.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Istiadat pengebumian Paus Francis alami cabaran keselamatan

    ROM, 25 APRIL – Langkah keselamatan yang ketat akan dilaksanakan di Rom bagi istiadat pengebumian negara Paus Francis pada Sabtu ini, untuk melindungi bukan sahaja orang ramai yang hadir di sekitar Vatican, tetapi juga kedatangan para pemimpin dunia, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

    Terutama sekali, ketibaan ramai pemimpin dunia, termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, akan memerlukan penempatan besar-besaran pasukan polis, tentera, dan agensi keselamatan lain.

    Lebih merumitkan lagi, keranda mendiang Francis akan dibawa merentasi Rom menuju ke Basilika Santa Maria Maggiore, tempat persemadian akan dilakukan, selepas istiadat pengebumian di St Peter di Vatican.

    Menurut Fabio Ciciliano daripada perkhidmatan pertahanan awam, lebih 200,000 orang dijangka hadir untuk istiadat pengebumian di sekitar St. Peter’s Square.

    “Tetapi kita perlu melihat semula angka ini,” katanya.

    Langkah keselamatan di sekitar Vatican telah dipertingkatkan sejak beberapa hari lalu, dan zon larangan terbang telah diwujudkan, dengan pasukan khas Itali turut mengawal St. Peter’s Square dengan peralatan pertahanan dron.

    Langkah-langkah keselamatan akan dipertingkatkan lagi untuk istiadat pengebumian pada Sabtu, apabila Rom dijangka menerima delegasi dan pemimpin dari sekitar 170 negara.

    Penembak tepat, skuad anjing, pasukan pemusnah bom, pasukan khas di Sungai Tiber, dan unit lain akan dikerahkan untuk memastikan semuanya berjalan lancar.

    Bahagian yang paling sukar adalah mengatur ketibaan serentak delegasi yang ramai dan pengiring mereka, kata Ketua Polis Massucci. -Bernama

    Orang ramai beratur untuk memasuki Basilika St. Peter di Vatican, pada 25 April. –AP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda