Sunday, January 5, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Istiadat Perkahwinan Diraja berakhir

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JAN – Istiadat Perkahwinan Diraja antara Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah yang bermula pada 7 Januari lalu tiba kemuncaknya dengan Majlis Istiadat Membaca Doa Selamat dan Menutup Gendang Jaga-Jaga yang berlangsung di Istana Nurul Iman, hari ini.

    Majlis dimulakan dengan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan menjunjung anugeraha untuk menyembahkan kepada Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bahawa majlis siap sedia untuk dimulakan.

    Setelah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, YAM Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz menyabdakan supaya istiadat dimulakan.

    Majlis seterusnya menyaksikan empat orang Awang-Awang masuk ke dalam majlis untuk meletakkan Dian Empat yang sedia terpasang (bertunu) dan kemudiannya disusuli dengan Surat Dikir, bantal Geguling dan Pabarahan dibawa masuk oleh tiga orang Awang-Awang dan diletakkan di tempat yang dikhaskan. Majlis diserikan dengan Dikir Syarafil Anam (Dikir Marhaban) sehingga kepada perenggan ‘Ya Habibi’, maka diikuti dengan tembakan meriam sebanyak 21 das.

    Sementara itu, Yang Dimuliakan Pehin Penyurat Awang Maidin, Yang Dimuliakan Pehin Penyurat Haji Awang Osman, Yang Dimuliakan Pehin Bendahari Haji Awang Abu Bakar dan Awang-Awang masuk ke dalam majlis dengan membawa Anchit yang mengandungi minyak wangi-wangian dan seterusnya memberikan kepada yang hadir mengikut keutamaannya.

    Laungan Dikir Syarafil Anam menyerikan Majlis Istiadat Membaca Doa Selamat dan Menutup Gendang Jaga-Jaga sebagai tanda kemuncak pengakhiran Istiadat Perkahwinan Diraja yang bermula sejak 7 Januari lalu. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Minyak wangi direnjis kepada YAM Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    YAM Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim dan YAM Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Basit hadir pada majlis itu. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Istiadat Membaca Doa Selamat dan Menutup Gendang Jaga-Jaga di Istana Nurul Iman, kelmarin, menandakan berakhirnya Istiadat Perkahwinan Diraja yang berlangsung sejak 7 Januari lalu. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Sementara itu, Doa Zikir dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Awang Hamidon dan selesai bacaan Doa Zikir, Awang-Awang membawa masuk teks Doa Selamat untuk dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim.

    YAM Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz seterusnya menyabdakan supaya majlis ditutup setelah mendapat kurnia perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

    Setelah selesai bacaan Doa Selamat, majlis menyaksikan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan menjunjung anugeraha untuk menyembahkan kepada YAM Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bahawa majlis telah sempurna dilaksanakan dan YAM Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz menyabdakan kepada Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan untuk mengadap dan menyembahkan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia bahawa Majlis Istiadat Membaca Doa Selamat dan Menutup Gendang Jaga-Jaga telah sempurna dilaksanakan dan menerima perkenan kurnia supaya majlis ditutup dan seterusnya majlis menjunjung anugeraha.

    Majlis turut dihadiri oleh pengiran-pengiran cheteria, menteri-menteri kabinet, timbalan-timbalan menteri, pengiran-pengiran peranakan, pehin-pehin manteri, manteri-manteri hulubalang dan manteri-manteri pendalaman, duta-duta, pesuruhjaya-pesuruhjaya tinggi, setiausaha-setiausaha tetap dan ketua-ketua jabatan.

    Dalam Majlis Istiadat Menutup Gendang Jaga-Jaga tersebut, semua alat perhiasan diraja diturunkan di Balai Pemajangan sebaik-baik sahaja tembakan meriam dilepaskan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda