Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JAN – Negara Brunei Darussalam sekali lagi menyaksikan peristiwa bersejarah dengan berlangsungnya Istiadat Perkahwinan Diraja antara Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Dayang Anisha Rosnah binti Adam yang bermula dengan Majlis Istiadat Bersuruh Diraja, hari ini.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke majlis penuh adat istiadat berkenaan yang berlangsung di Dewan Persantapan, Istana Nurul Iman.
Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Majlis bermula dengan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Adanan menjunjung anugeraha dan menyembahkan kepada Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bahawa Majlis Istiadat Bersuruh Diraja telah siap sedia.
Yang Amat Mulia seterusnya menyabdakan kepada Yang Berhormat Pehin mengadap kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia bahawa majlis telah siap sedia.
Sejurus itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat ke majlis tersebut.
Keberangkatan Baginda dijunjung dan diiringi oleh Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris dan Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin.
Pada majlis itu, Baginda Sultan menitahkan kepada Yang Amat Mulia Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim supaya mengepalai
rombongan Bersuruh Diraja ke kediaman pengantin diraja perempuan bagi menjelaskan hasrat Baginda untuk meminang Dayang Anisha Rosnah untuk paduka anakanda Baginda, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
YAM Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim seterusnya menjunjung titah untuk mengepalai rombongan Bersuruh Diraja ke kediaman pengantin diraja perempuan di Dewan Cempaka, Darussidiq, Jerudong.
Terdahulu, sebelum istiadat diadakan di Istana Nurul Iman, majlis terlebih dahulu diadakan di Darussidiq, Jerudong bagi Istiadat Bersuruh Pengantin Perempuan.
Majlis bermula dengan Awang Adam bin Abdullah, ayah pengantin diraja perempuan mengadap Yang Amat Mulia Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Basit untuk menerima pinangan bagi pihaknya.
Ketibaan rombongan Bersuruh Diraja yang dikepalai YAM Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim dijunjung oleh Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Ahmad.
Pada majlis itu, YAM Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim bersabda dan menyampaikan titah Baginda kepada YAM Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Basit akan hasrat Baginda untuk meminang Dayang Anisha Rosnah untuk paduka anakanda Baginda, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
YAM Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Basit menyabdakan supaya YAM Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim akan dapat menyembahkan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia, bahawa Awang Adam dan keluarga menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih di atas hasrat Baginda.
Awang Adam serta keluarga dengan rendah hati menjunjung setinggi-tinggi pinangan tersebut.
Selesai bacaan Doa Selamat, YAM Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim kemudiannya berangkat dari majlis naik ke kenderaan khas untuk berangkat ke Istana Nurul Iman.
YAM Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim kemudian menyembahkan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia sabda yang diterima daripada YAM Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Basit.
Baginda mengambil maklum akan sembah jawapan daripada Awang Adam.
Bagi memberkati majlis, bacaan Doa Selamat telah dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.
Setelah Majlis Istiadat Bersuruh Diraja sempurna dilaksanakan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menitahkan supaya majlis ditutup. Baginda Sultan berserta kerabat diraja kemudiannya berangkat meninggalkan majlis tersebut.
Istiadat Perkahwinan Diraja akan diteruskan lagi esok dengan Majlis Istiadat Membuka Gendang Jaga-Jaga.