Monday, February 3, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Istiadat pertabalan Agong ke-17 di Istana Negara 20 Julai

    PUTRAJAYA, 16 MEI – Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim  akan berlangsung di Istana Negara pada 20 Julai ini, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

    Fahmi mengumumkan perkara itu selepas beliau mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong.

    “Sebagaimana kita sedia maklum, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada Rabu, 31 Januari 2024.

    “Sehubungan itu, kerajaan dengan titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan melaksanakan acara-acara sempena Istiadat Pertabalan Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim,” katanya kepada media di sini hari ini.

    Terdahulu, Ketua Pegawai Istiadat Kerajaan bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Rozainor Ramli mengumumkan pelantikan Fahmi sebagai Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong. 

    Sementara itu, Fahmi berkata istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong itu memberi peluang pada rakyat Malaysia untuk memahami dan memupuk rasa cinta rakyat terhadap institusi diraja. 

    “Kita semua maklum istiadat pertabalan ini adalah istiadat yang penuh simbolik dan ia adalah satu upacara hanya disaksikan sekitar lima tahun sekali.

    “Maka dalam mesyuarat penyelarasan yang saya telah pengerusikan tadi, saya ada menyampaikan pandangan bahawa semestinya rakyat Malaysia mendambakan satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan,” katanya. – Bernama

    Sultan Ibrahim semasa menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Raja Malaysia ke-17 di istana negara di Kuala Lumpur, Malaysia, pada Januari 2024. Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim akan berlangsung di Istana Negara pada 20 Julai. – Xinhua
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda