Wednesday, May 14, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Istilah Tayammum : Jangan Keliru!

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    SIRI 1

    ISLAM telah menentukan cara atau kaifiat menyucikan sesuatu benda atau tempat yang terkena najis mughallazhah.

    Dalam konteks masyarakat di Negara Brunei Darussalam, ungkapan perkataan ‘menayamumkan’ atau ‘mentayamumkan’ merujuk kepada perbuatan menyucikan sesuatu benda atau tempat yang terkena anjing atau khinzir; samada najisnya, air liurnya dan sebagainya.

    Ungkapan ‘menayamumkan’ atau ‘mentayamumkan’ itu tidak tepat menurut istilah syara‘. Ini kerana istilah tayammum tidak merujuk kepada perbuatan menyucikan sesuatu benda atau tempat yang terkena najis mughallazhah itu.

    Kekeliruan penggunaan ungkapan dan istilah seumpama ini boleh diperbetulkan dengan penjelasan kali ini. Keluaran kali ini akan menjelaskan maksud tayammum menurut istilah syara‘ dan penjelasan istilah-istilah dan ungkapan-ungkapan yang sesuai dan tepat bagi merujuk kepada perbuatan menyucikan sesuatu benda atau tempat yang terkena najis mughallazhah serta hukum-hukum yang berkaitan dengan istilah-istilah tersebut.

    Apakah yang dimaksudkan dengan Tayammum?

    Tayammum ialah suatu syari‘at yang berbentuk rukhshah atau keringanan bagi orang yang tidak dapat menggunakan air untuk berwudhu atau mandi wajib. Keringanan ini hanya diberi kepada orang yang tidak dapat menggunakan air kerana sakit atau kerana ketiadaan air atau kerana air yang tidak mencukupi.

    Adapun maknanya menurut istilah syara‘ ialah menyampaikan debu tanah ke muka dan dua tangan sebagai ganti kepada wudhu atau mandi dengan syarat-syarat tertentu. Sebagai contoh, apabila berlaku keuzuran kepada seseorang untuk menggunakan air; dengan sebab ketiadaan air atau sakit yang boleh memudharatkannya jika dia menggunakan air, sedang dia hendak menunaikan sembahyang, maka wajib dia bertayammum. Ini kerana dia tidak dapat melaksanakan mandi hadas atau wudhu dengan menggunakan air, maka sebagai ganti dia diberikan rukhshah, iaitu dengan bertayammum untuk mengharuskannya menunaikan sembahyang itu atau untuk menyentuh mushaf dan lain-lain.

    Manakala menurut Kamus Dewan, tayammum ialah perbuatan menyapukan debu tanah yang suci pada muka dan dua tangan sebagai ganti wudhu kerana tiada air atau berlakunya halangan menggunakan air, misalnya sakit.

    Maka fungsi tayammum itu ialah sebagai ganti kepada wudhu atau mandi hadas bagi mengharuskan seseorang melakukan ibadat seperti sembahyang, tawaf, menyentuh mushaf dan lain-lain.

    Cara (Kaifiat) Tayammum

    Cara bertayammum ialah dengan menepukkan kedua belah telapak tangan kepada debu tanah yang suci, kemudian berniat dan hendaklah berkekalan niat itu sehingga sampai menyapukannya ke muka.

    Setelah itu, menepukkannya sekali lagi ke atas debu tanah yang suci, kemudian menyapukannya pada kedua belah tangannya dari hujung jari hingga ke siku.

    Caranya bermula dengan menyapu tangan kanan hingga ke siku, iaitu dengan meletakkan perut jari-jari tangan kirinya (selain daripada perut ibu jarinya) sekira-kira bahagian hujung jari-jari tangan kanannya tidak terkeluar atau tidak melimpasi jari telunjuk tangan kirinya. Maka lalukanlah perut jari-jarinya itu pada belakang tapak tangannya yang kanan. Apabila sampai di pergelangan tangan, maka dirapatkan kesemua hujung jarinya itu pada tepi lengannya dan dilalukannya hingga sampai ke sikunya. Kemudian diedarkannya pula perut tapak tangan kirinya itu ke perut lengan tangan kanannya, seterusnya dilalukannya ke atas perut lengannya itu dengan ibu jari tangan kirinya terangkat. Apabila sampai di pergelangan tangannya, maka dilalukannya perut ibu jari tangan kirinya itu di atas belakang ibu jari tangan kanannya.

    Setelah itu disapu pula tangan kiri sebagaimana kaifiat yang dilakukan semasa menyapu tangan kanan. Kemudian disapukan salah satu perut tapak tangan serta kesemua perut jari-jarinya ke atas perut satu yang lain serta kesemua jari-jarinya, dan diselat-selatkan di antara jari-jari kedua tangannya.

    Pengertian Sertu

    Menurut mazhab asy-Syafi‘e cara untuk menyucikan tempat yang terkena najis mughallazhah sama ada pada badan manusia, tempat seperti lantai, benda seperti bekas menyimpan barang, pinggan, mangkuk dan sebagainya ialah membasuh dengan air sebanyak tujuh kali, enam kali basuhan dengan air mutlak dan sekali dengan air yang bercampur dengan tanah. Dalam kitab fiqah, mencampur air dengan tanah untuk dibasuhkan pada tempat yang terkena najis itu disebut tatrib.

    Cara menyertu tempat-tempat yang terkena najis mughallazhah inilah yang sering disebut oleh sebilangan masyarakat Brunei dengan ‘menayamumkan’ atau ‘mentayamumkan’. Berdasarkan pendapat ulama asy-Syafi‘ie di atas, sudah tentu istilah ‘menayamumkan’ atau ‘mentayammumkan’ dengan maksud menyucikan najis mughallazhah tidak tepat.

    Menurut Kamus Dewan ‘sertu’ dan ‘menyertu’ membawa satu maksud, iaitu menyucikan mana-mana bahagian badan yang terkena najis mughallazah (anjing dan khinzir) dengan air bercampur tanah sekali dan air mutlak enam kali.

    Manakala maksud ‘samak’, menurut Kamus Dewan, antaranya ialah sejenis tumbuhan pokok yang kulitnya digunakan untuk menyamak kulit, pukat dan lain-lain. ‘Menyamak’ membawa beberapa maksud dan antaranya ialah maksud yang serupa dengan menyertu.

    Oleh yang demikian, menyertu dan menyamak mempunyai pengertian yang sama, hanya perbezaannya menyamak bermaksud lebih umum.

    Cara menyertu tempat yang terkena Najis Mughallazhah

    Untuk jelasnya cara mencuci tempat yang terkena najis mughallazhah itu ialah dengan membasuh tujuh kali dengan air mutlak, iaitu setelah menghilangkan ‘ain atau zat, dan kesan najis seperti bau atau warnanya. Salah satu daripada basuhan yang tujuh itu ialah air yang telah bercampur dengan tanah.

    Cara ini adalah berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    “Kesucian bekas air seorang daripada kamu apabila (air di dalamnya) dijilat oleh anjing, ialah dengan membasuhnya tujuh kali, salah satunya dengan (air bercampur) tanah.” (Hadits riwayat Muslim)

    Akan tetapi para ulama fiqh menyebutkan bahawa basuhan yang dicampur dengan tanah itu tidak ditentukan pada mana-mana basuhan sama ada pada basuhan pertama, pertengahan atau pada basuhan yang terakhir, sebagaimana dalam riwayat lain oleh Daruquthni yang maksudnya:

    “Salah satunya dengan tanah.” (Hadits riwayat ad-Daruquthni)

    Manakala kadar tanah yang wajib dicampurkan kepada air itu ialah sekira-kira dapat mengeruhkan air dan dengan perantaraan air itu ia boleh sampai kesemua bahagian yang bernajis.

    Seandainya najis yang dicuci itu hanya hilang sesudah dibasuh berulangkali, maka ianya akan dianggap satu basuhan. Oleh itu hendaklah ditambah lagi enam kali basuhan dan salah satu daripadanya dengan air yang bercampur dengan tanah.

    Bersambung minggu depan…

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda