Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Istinja’ dengan kertas tisu

    (Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    (Siri 1)

    Pada masa kini, di samping bekalan air paip, terdapat kertas tisu disediakan untuk pengguna tandas awam sebagai kegunaan untuk istinja’ selepas buang air kecil mahupun buang air besar. Terdapat juga sebilangan tandas awam yang hanya menyediakan kertas tisu untuk kegunaan tersebut seperti tandas-tandas awam yang terdapat di luar negeri.

    Selain itu, kertas tisu basah atau lebih sering disebut wet tissues atau baby wipes juga kerap digunakan untuk membersihkan kesan najis anak damit atau orang sakit.

    Namun khusus bagi orang Islam, adakah penggunaan kertas tisu sebagai kegunaan untuk istinja’ selepas buang air kecil mahupun buang air besar itu memadai dan menepati cara istinja’ yang dikehendaki oleh syara‘?

    Maka ruangan kali ini akan menjelaskan perkara tersebut.

    ISTINJA’ MENURUT HUKUM SYARA’

    Menurut ulama fiqh, istinja’ ialah menghilangkan najis iaitu setiap benda kotor atau tercemar yang keluar daripada qubul atau dubur.

    Foto Canva

    Hukum melakukan istinja’ daripada najis seperti kencing atau tahi adalah wajib. Istinja’ tidak wajib dilakukan langsung setelah buang air akan tetapi diwajibkan dalam keadaan tertentu seperti jika hendak menunaikan sembahyang.

    Hukum melakukan istinja’ adakalanya menjadi sunat iaitu apabila yang keluar daripada qubul atau dubur itu adalah benda bersih seperti ulat yang tidak basah. Adakalanya hukum istinja’ itu makruh iaitu apabila yang keluar itu adalah angin (kentut) dan adakalanya haram iaitu apabila melakukan istinja’ dengan menggunakan bahan makanan.

    Sebahagian ulama pula berpendapat bahawa melakukan istinja’ untuk menghilangkan peluh yang ada pada kemaluan adalah harus.

    Rukun istinja’ ada empat iaitu:

    i- Mustanjin (orang yang melakukan istinja’).
    ii- Mustanja’ minhu (najis yang keluar daripada qubul atau dubur).
    iii- Mustanja’ fihi (qubul atau dubur).
    iv- Mustanja’ bihi (air atau batu).

    Menurut syara‘, istinja’ itu hendaklah dengan menggunakan air iaitu alat asal yang disyari‘atkan untuk menghilangkan najis, atau dengan batu kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mengharuskannya berdasarkan hadits-hadits Baginda. Antaranya hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata yang maksudnya:

    Aku telah mengikut Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika Baginda keluar untuk qadha hajat. Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak menoleh-noleh lalu aku pun mendekati Baginda. Maka Baginda bersabda: “Carikan aku batu untuk aku gunakan ketika istinja’ – atau seumpamanya – dan jangan bawakan tulang dan najis binatang”. Lalu aku pun datang kepada Baginda dengan membawa batu-batu (dialas dengan) tepi kainku. Aku letakkan batu-batu itu di sisi Baginda lalu aku berpaling dari Baginda. Apabila (selesai) qadha hajat, Baginda (melakukan istinja’) dengan menggunakannya (batu-batu itu).

    (Hadits riwayat al-Bukhari)

    Sungguhpun harus menggunakan salah satu daripada kedua alat tersebut, menggunakan kedua-duanya untuk istinja’ adalah afdhal iaitu dengan menghilangkan zat najis terlebih dahulu dengan batu dan kemudian menghilangkan kesannya dengan air.

    Jika ingin melakukan istinja’ dengan menggunakan air semata-mata atau dengan batu semata-mata, maka adalah afdhal menggunakan air berbanding batu kerana air lebih berkesan menghilangkan zat najis dan sekali gus dapat membersihkan kesan najis tersebut.

    ISTINJA’ DENGAN BATU ATAU SEUMPAMA BATU

    Yang dimaksudkan dengan menggunakan batu dalam konteks istinja’ itu adalah tidak khusus kepada batu sahaja, bahkan setiap benda yang seumpama batu dari segi syara‘.

    Benda yang seumpama batu itu ialah setiap benda yang memiliki ciri seperti berikut:

    1- Jamid iaitu pejal (solid) seperti kayu dan kain yang kesat.

    Tidak termasuk pengertian jamid, benda cair seperti cuka dan air mawar kerana benda tersebut menjadi najis apabila bertemu dengan najis bahkan najis boleh merebak disebabkannya. Menurut pendapat yang shahih, istinja’ dengan menggunakan sesuatu yang basah atau lembap sama ada batu atau benda lain adalah tidak memadai.

    2- Suci.

    Tidak termasuk dalam pengertian suci, benda najis seperti tahi binatang, batu yang terkena najis atau air yang sedikit yang terkena najis. Jika istinja’ dilakukan dengan benda najis maka hendaklah dilakukan istinja’ sekali lagi dengan air.

    3- Menanggalkan iaitu boleh menghilangkan ‘ain najis (kesat).

    Tidak memadai istinja’ dengan benda yang tidak boleh menanggalkan ‘ain najis seperti kaca, buluh yang licin, tanah yang bertabur dan yang seumpamanya.

    4- Tidak dimuliakan iaitu bukan benda yang diagungkan atau dihormati.

    Tidak diharuskan istinja’ dengan makanan seperti roti kerana roti adalah makanan manusia, tulang kerana tulang adalah makanan jin, sesuatu yang tertulis di atasnya ilmu, nama-nama agung, ayat-ayat al-Qur’an dan hadits. Demikian juga, tidak diharuskan istinja’ dengan anggota badan manusia walaupun anggota yang terpotong daripada badan dan dengan bahagian yang tidak terpotong daripada binatang seperti ekor kambing.

    SYARAT ISTINJA’ DENGAN MENGGUNAKAN BATU ATAU SEUMPAMA BATU

    1- Najis itu hendaklah keluar dari kemaluan dengan cara kebiasaannya (normal), bukan dari rongga yang terbuka di bawah perut atau bukan dari proses pemotongan urat atau yang seumpamanya.

    2- Najis itu hendaklah belum kering. Tidak memadai istinja’ dengan batu atau yang seumpama batu, jika najis atau sebahagian najis itu telah kering. Walau bagaimanapun, jika buang air kencing setelah kering air kencing yang sebelumnya dan najis kencing itu mengalir di permukaan yang telah dikenai oleh najis kencing yang sebelumnya itu, maka memadai melakukan istinja’ dengan batu sahaja atau yang seumpama batu walaupun najis kencing yang sebelumnya itu telah kering. Demikian juga hukumnya jika najis yang keluar itu adalah tahi yang cair.

    3- Menurut pendapat al-azhhar (yang rajih daripada dua atau lebih daripada pendapat Imam asy-Syafi‘i Rahimahullahu Ta‘ala), harus istinja’ dengan batu atau yang seumpama batu walaupun najis yang keluar itu banyak dan merebak di luar kebiasaannya asalkan najis tersebut tidak melebihi batas yang ditetapkan.

    Iaitu najis tahi hendaklah tidak melimpasi permukaan kedua belah sisi punggung yang bertangkup apabila berdiri. Manakala najis kencing pula hendaklah tidak melimpasi hasyafah (hujung zakar) lelaki. Istinja’ hendaklah dilakukan dengan air apabila seorang perempuan itu pasti najis kencingnya melimpasi batas yang ditentukan iaitu apabila air kencing sampai ke tempat lubang masuk zakar. Jika perempuan itu tidak pasti, maka dia boleh melakukan istinja’ dengan batu atau yang seumpama batu namun adalah sunat dilakukan dengan air.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda