Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OGOS – Kira-kira 200 orang telah menghadiri majlis Khatam Al-Quran bagi Program Satu Hari Satu Halaman (1H1H) yang telah diungkayahkan oleh Jawatankuasa Takmir Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah (MRSB), Kampung Sungai Akar di masjid berkenaan, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Penaung 1 MRSB, Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong dan Penaung 2, Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin serta Ketua Kampung Sungai Akar, Haji Zailani bin Haji Malik.
Program yang julung kalinya diadakan itu bermula pada 1 Januari 2022 dan telah mengambil masa selama 604 hari di mana setiap peserta diberikan naskhah Al-Quran berbentuk digital 1H1H dari Surah Al-Fatihah (halaman 1) hingga Surah An-Nas (halaman 604).
Antara tujuan program adalah untuk istiqamah membaca Al-Quran secara konsisten setiap hari selain bagi menggalakkan dan memberi semangat kepada orang ramai agar mengkhatamkan Al-Quran secara perlahan.
Ke arah mendekatkan diri seterusnya melahirkan rasa cinta kepada Al-Quran, Projek Healing Bersama Al-Quran 1H1H akan diteruskan bagi sesi kedua yang telah bermula pada 27 Ogos dan akan mengambil masa selama 604 hari.



