Sunday, May 11, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Istiqamah dalam beramal ibadat

    Oleh Salawati Haji Yahya

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jun – Dalam kegembiraan dan keceriaan merayakan dan menyambut Aidilfitri, amal ibadah perlu dilakukan secara istiqamah dan berusaha memperbaiki diri ke arah yang lebih baik secara berterusan agar menjadi orang yang beriman dan bertakwa kepada Allah.

    Perkara tersebut ditegaskan oleh khatib dalam khutbah Jumaat, hari ini, yang menjelaskan istiqamah itu adalah berdiri teguh di atas jalan yang lurus, berpegang kukuh kepada akidah Islam dan melaksanakan syariatnya dengan tekun, tidak berubah dan tidak berpaling dalam apa juga keadaan sekali pun.

    Walaupun dengan amalan yang sedikit tapi berterusan dan istiqamah, ia adalah lebih afdal atau lebih baik daripada melakukan amalan yang banyak tapi hanya sekali skala, menurut khatib lagi.

    “Orang yang istiqamah atau berterusan dalam mengerjakan ibadat, beramal kebajikan, berakhlak mulia dalam melaksanakan perintah Allah dan menjauhi larangannya itu dijanjikan dengan pelbagai ganjaran,” ujar khatib.

    Terdapat beberapa hikmah yang terkandung dalam istiqamah yang antaranya, seseorang yang istiqamah dalam amal ibadatnya akan selalu didatangi para malaikat dan ia merupakan satu keuntungan kepadanya disebabkan malaikat itu membawa rahmat.

    Selain itu, seseorang yang istiqamah, tidak mudah berasa takut kerana ia mempunyai kekuatan hati, kuat keyakinan, kukuh pendirian dan besar harapannya kepada Allah.

    Tambah khatib, orang yang istiqamah juga tidak mudah berasa sedih terutamanya apabila kehilangan sesuatu kerana ia berasa semua itu adalah milik Allah dan mereka yang istiqamah juga mendapat balasan syurga yang telah dijanjikan oleh Allah.

    Agama Islam pula menuntut umatnya untuk sentiasa beristiqamah dalam melakukan amal kebajikan, apa yang diamalkan dan dikerjakan di bulan Ramadan seperti mengerjakan sembahyang sunat, bertadarus, berzikir, berdoa, beriktikaf, bersedekah dan sebagainya.

    “Semua ini hendaklah diteruskan dan diamalkan di bulan-bulan yang lain untuk menjadi pembakar semangat supaya terus berusaha meningkatkan ketakwaan dan keimanan kepada Allah,” tegasnya.

    Khatib juga mengingatkan jangan setelah melakukan amal ibadah pada bulan Ramadan dengan penuh kesungguhan dan berjuang berhabis-habisan untuk meraih ganjaran yang berlipat ganda daripada Allah, tapi apabila memasuki bulan Syawal dan bulan yang lain, kita kembali untuk melakukan dosa dan melakukan maksiat.

    “Kita hendaklah terus istiqamah pada setiap amal ibadat dan amalan yang berkebajikan yang dikerjakan dan tinggalkan perkara yang mungkar kerana istiqamah itu mempunyai banyak kebaikan, ditambah dengan ganjaran yang telah dijanjikan,” jelasnya.

    Dengan beristiqamah, jelas khatib, akan dapat membentuk diri menjadi orang yang beriman dan bertakwa kepada Allah dan ingatlah dengan berlalunya bulan Ramadan, bukan bererti apa yang dilakukan pada bulan itu turut berakhir dan terhenti.

    “Dengan segala ibadat dan amal kebajikan yang dilakukan diterima Allah dan mendapat berkat, rahmat dan inayah dari Allah,” tambahnya.

    Agama Islam menganjurkan umatnya untuk sentiasa mensyukuri segala nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah dan antara nikmat yang perlu disyukuri itu, nikmat keamanan dan kedamaian bernaung di bumi Brunei Darussalam yang bertuah ini.

    Katanya lagi, “Untuk memastikan keamanan dan kedamaian sentiasa terjaga, negara memerlukan institusi atau agensi yang bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan dan keamanan terpelihara.”

    Antara jabatan atau agensi kerajaan yang berperanan penting dalam membantu mengawal dan memastikan keamanan negara ini sentiasa terjaga ialah Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

    Jabatan ini adalah sebuah jabatan yang berorientasikan perkhidmatan kepada orang ramai selaras dengan visi iaitu ke arah perkhidmatan yang dinamik dan kredibiliti (dipercayai).

    Pada tahun ini, jabatan berkenaan jelas khatib akan menyambut Sambutan Jubli Intan sempena penubuhannya yang ke-60 pada 1 Julai 2018.

    Khatib turut menjelaskan, peranan utama jabatan adalah mengawal dan mengatur orang-orang asing yang masuk dan keluar dari negara bagi tidak menjejaskan kepentingan negara dari segi keselamatan, ekonomi, sosial, agama dan budaya.

    Selain itu, jelasnya, fungsi jabatan ini adalah bagi menentukan taraf kependudukan serta melaksanakan pendaftaran yang berkaitan dengan kelahiran dan kematian, kerakyatan, pengeluaran kad pengenalan, anak-anak angkat sesuai dengan undang-undang yang dikuatkuasakan di negara ini.

    “Semoga jabatan ini akan dapat berupaya menjalankan tugas dan perkhidmatannya dengan baik sesuai dengan visi jabatan itu sendiri,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda