Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Ramadhan adalah bulan yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan.
Pada bulan ini, segala amal ibadat baik yang fardhu mahupun yang sunat dijanjikan ganjaran pahala yang berlipat ganda berbanding jika ia dikerjakan di bulan-bulan yang lain.
Oleh itu, umat Islam perlu merebut peluang tersebut dengan memperbanyakkan amal salih bagi meraih ganjaran yang telah dijanjikan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Ini membuktikan betapa Ramadhan mampu mendidik dan melatih kita untuk lebih tekun beribadat dan giat berusaha bagi mencapai keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Kini bulan Ramadhan telah berlalu dan kita berdoa semoga dipertemukan lagi dengan Ramadhan yang akan datang. Apa yang diharapkan ialah segala amal ibadat yang dikerjakan pada bulan Ramadhan itu akan istiqamah (konsisten) dikerjakan di bulan-bulan yang lain. Ini juga sebagai salah satu langkah agar kita meneguhkan iman dan taqwa kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan istiqamah.
Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan NabiNya Shallallahu ‘alaihi wasallam dan orang-orang yang beriman supaya istiqamah dalam mengimani Allah Subhanahu wa Ta‘ala serta tidak menyekutuiNya dengan mentaati segala suruhanNya. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:
“Maka hendaklah engkau (wahai Nabi Muhammad) sentiasa beristiqamah (tetap teguh di atas jalan yang benar) sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan orang-orang yang bertaubat bersamamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” (Surah Hud: 112)

Diriwayatkan daripada Sufyan bin ‘Abdullah ats-Tsaqafiy Radhiallahu ‘anhu, beliau bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya:
“Wahai Rasulullah! Katakan kepadaku mengenai Islam satu ungkapan yang aku tidak akan bertanya lagi mengenainya kepada seseorang selepasmu.
Baginda bersabda: “Kata-kanlah: “Aku beriman kepada Allah, kemudian istiqamahlah.” (Hadits riwayat Muslim)
Istiqamah bermaksud lurus, benar, tetap pendirian atas suatu keyakinan. Tetap (teguh) pendirian atas kebenaran ajaran Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan melaksanakan segala ketentuanNya. Sementara dalam tafsir al-Qurthubi ada menyatakan bahawa istiqamah itu bermaksud tetap atau konsisten pada satu arah tanpa membelok ke kanan dan ke kiri.
Istiqamah pada mengimani Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan bertaqwa kepadaNya itu akan tercapai dengan mentaati segala suruhanNya, antaranya melakukan perkara-perkara seperti berikut:
Yang pertama, Istiqamah pada menunaikan segala kewajipan yang difardhukan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala ke atas hamba-hambaNya seperti mempercayai bahawa tidak ada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah pesuruh Allah, mengerjakan sembahyang fardhu lima waktu, membayar zakat, menunaikan puasa dan haji, berjihad di jalan Allah, menyuruh pada melakukan perkara yang makruf dan melarang pada melakukan perkara yang mungkar, dan menunaikan serta menjaga hak-hak manusia.
Demikian juga, istiqamah pada menunaikan perkara-perkara yang disunatkan seperti berterusan mengerjakan sembahyang sunat, puasa sunat, sedekah dan membaca al-Qur’an.
Seterusnya, Istiqamah pada meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan seperti menyekutui Allah Subhanahu wa Ta‘ala, bercakap bohong, memfitnah, mencuri dan meninggalkan perkara-perkara yang syubhah. Diriwayatkan daripada an-Nu‘man bin Basyir Radhiallahu ‘anhu, beliau mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
“Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya ada perkara-perkara syubhah yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Maka sesiapa yang menjauhi perkara-perkara syubhah itu nescaya dia telah memelihara agamanya dan kehormatannya…”
(Hadits riwayat Muslim)
Di samping itu juga, istiqamah pada meninggalkan perkara-perkara yang dimakruhkan.
Seterusnya, Istiqamah pada mentaati segala suruhan Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan bertaqwa kepadaNya hingga ke akhir hayat. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam. (Surah Ali ‘Imran: 102)
Diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Amr Radhiallahu ‘anhu ketika beliau mendengar khutbah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam, antara petikannya Baginda bersabda yang maksudnya:
“Sesiapa yang ingin di-selamatkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka hendaklah kematiannya datang dalam keadaan dia beriman kepada Allah dan hari akhirat dan hendaklah dia bermuamalah dengan orang lain dengan muamalah yang dia sendiri suka apabila orang lain bermuamalah dengannya…”
(Hadits riwayat Muslim)
Oleh itu, kita hendaklah istiqamah dalam mentaati segala suruhan Allah Subhanahu wa Ta‘ala baik yang fardhu mahupun yang sunat dan meninggalkan segala laranganNya sama ada yang haram ataupun makruh.
Dengan yang demikian itu, istiqamah pada mengimani Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan bertaqwa kepadaNya akan tercapai hingga ke akhir hayat dan seterusnya mencapai kejayaan dan kebahagian hidup di dunia dan di akhirat.
Pada bulan Ramadhan adalah peluang keemasan bagi kita untuk terus istiqamah melaksanakan amal salih dan terus istiqamah meninggalkan perkara-perkara maksiat dan dosa di bulan-bulan yang lain.
Ini kerana pada bulan Ramadhan kita sudah terbiasa dan terdidik dengan melaksanakan ibadat sembahyang fardhu dengan sempurna, memelihara waktunya, bahkan turut melaksanakannya secara berjemaah. Di samping mengerjakan ibadat yang fardhu, kita juga sudah terbiasa dan terdidik dengan memperbanyakkan amal ibadat yang sunat seperti sembahyang sunat Rawatib, Tahajjud, Tasbih, Dhuha dan Witir, bersedekah dan bertadarrus al-Qur’an.
Demikian juga, pada bulan Ramadhan kita sudah terbiasa dan terdidik untuk memelihara anggota dan pancaindera daripada melakukan perbuatan dosa dan maksiat, mampu mengawal hawa nafsu, meninggalkan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala seperti mengumpat dan sebagainya.
Pada bulan Ramadhan juga, kita mampu melaksanakan ibadat puasa selama sebulan penuh, ini sudah tentu dapat dilaksanakan pada bulan-bulan yang lain dengan melaksanakan puasa-puasa sunat seperti puasa pada hari Isnin dan Khamis, hari Arafah pada bulan Zulhijjah, ‘Asyura pada bulan Muharram, enam hari pada bulan Syawwal dan puasa pada bulan Sya‘ban.
Oleh itu, amalan yang telah kita laksanakan pada bulan Ramadhan itu hendaklah tidak terhenti setakat pada bulan Ramadhan sahaja, akan tetapi terus istiqamah melaksanakannya di bulan-bulan lain bahkan hingga ke akhir hayat agar kita dapat menjadi hamba Allah yang beriman dan bertaqwa serta mencapai keredhaanNya.

