Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MEI – Pelbagai ganjaran telah dijanjikan Allah kepada mereka yang sentiasa beristiqamah dalam melakukan ibadat dan amal kebajikan, berakhlak mulia dalam mentaati perintah Allah dan menjauhi laranganNya.
Perkara itu dinyatakan oleh khatib semasa khutbah Jumaat pertama sejak masjid ditutup akibat COVID-19 yang bertajuk ‘Istiqamah Mengerjakan dan Meningkatkan Amal Ibadat’.
Khatib seterusnya menjelaskan, seseorang yang istiqamah beriman dalam amal ibadatnya akan selalu didatangi para malaikat dan ia merupakan satu keuntungan kepada diri seseorang tersebut disebabkan kedatangan malaikat itu membawa rahmat kepadanya.
Terdapat beberapa pengajaran yang terkandung dalam Surah Al-Fusilat ayat 30 berhubung orang yang istiqamah dalam amalannya.
Antaranya, seseorang yang istiqamah tidak mudah berasa takut kerana ia mempunyai keteguhan hati, kuat keyakinan, kukuh pendiriannya dan besar harapannya kepada Allah dan orang yang istiqamah tidak mudah berasa sedih terutama apabila kehilangan sesuatu kerana ia tahu semua itu milik Allah.
Khatib seterusnya menambah, orang yang istiqamah juga akan mendapat balasan syurga yang dijanjikan Allah.
“Apa yang diamalkan dan dikerjakan sepanjang bulan Ramadan yang lalu bersama keluarga di rumah sama ada yang fardu atau yang sunat, seperti mengerjakan yang fardu, sembahyang sunat, bertadarus, berzikir, berdoa, qiamullail, bersedekah dan sebagainya semua ini hendaklah diamalkan di bulan-bulan yang lain.
“Ini adalah sebagai pembakar semangat supaya terus berusaha meningkatkan ketakwaan dan keimanan kepada Allah,” jelasnya.
Khatib dalam khutbahnya itu turut menyentuh mengenai tanggal 31 Mei ini yang mana ia adalah hari memperingati Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang ke-59.
Katanya, “ABDB mempunyai tugas yang sangat murni iaitu mempertahankan negara daripada segala ancaman dan pencerobohan musuh yang boleh mengganggu gugat keamanan, kesejahteraan dan kedaulatan negara.”
Semangat juang dalam mempertahankan negara ini, tegasnya, bukan hanya perlu ada pada anggota tentera saja tapi ia perlu ada pada setiap masyarakat.
Ini kerana, negara memerlukan rakyat dan penduduk yang mempunyai semangat patriotik yang tinggi dan sanggup berjuang dan berkorban bagi mempertahankan keamanan dan keselamatan agama, bangsa dan negara.
Sehubungan itu, khatib dalam khutbahnya menyeru untuk sama-sama berdoa semoga ABDB akan sentiasa beristiqamah dalam menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan dengan jujur, amanah, ikhlas dan dedikasi serta sentiasa mendapat pertolongan dan perlindungan daripada Allah.
Memandangkan istiqamah mempunyai banyak kebaikan, ditambah pula dengan ganjaran yang sangat banyak, khatib menyarankan untuk terus beristiqamah dalam setiap amal ibadat yang berkebajikan selain dengan mengambil kira jangkitan COVID-19 di negara pada masa ini.
Selaku rakyat negara ini, tegasnya lagi, hendaklah semua beristiqamah mengikut saranan dan mematuhi nasihat-nasihat dan larangan yang diberikan oleh pihak berwajib bagi mengawal dan mengurangkan lagi risiko penularan jangkitan penyakit ini.
“Mudah-mudahan dalam kita beristiqamah akan dapat membentuk diri kita menjadi orang yang beriman dan bertakwa kepada Allah,” ujar khatib mengakhiri khutbahnya.