Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 FEB – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Unit Keugamaan dan Takmir Surau, Pejabat Hal Ehwal Pelajar, tidak ketinggalan memperingati peristiwa Israk dan Mikraj dengan mengadakan Majlis Sambutan Israk dan Mikraj Tahun 1445H/2024M di Dewan Auditorium, UNISSA, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal. Turut hadir ialah penolong-penolong rektor, pegawai-pegawai utama, tenaga akademik, pegawai, kakitangan dan mahasiswa serta mahasiswi UNISSA.
Majlis sambutan disemarakkan dengan forum khas bertemakan Sembahyang Tiang Agama yang menampilkan dua orang ahli panel iaitu pelajar Tahun 3, Awang Auza’ie Rusydi bin Suhaili daripada Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam dan pelajar Tahun 2, Awang Muhammad Amin Rifaie bin Mohd Suhaimin dari Fakulti Teknologi Islam.
Manakala itu, pelajar Tahun 2, Awang Abdul Matin bin Amran dari Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam pula selaku moderator.
Antara inti pati yang dapat diambil daripada forum berkenaan adalah sembahyang merupakan tiang agama dan anugerah Allah dalam kefarduan sembahyang itu mempunyai rahsia yang signifikan dengan kehidupan manusia itu sendiri.
Sembahyang mampu mempengaruhi keperibadian seseorang dan umat masyarakat dalam mencorak kehidupan yang baik dan sempurna. Sifat ikhlas dan istiqamah perlu ada dalam melaksanakan tuntutan sembahyang agar ibadah itu menjadi pengukuh kepada ibadah-ibadah yang lain dalam membentuk generasi yang bertakwa.
Antara lain tujuan majlis itu diadakan adalah untuk menyemarakkan sambutan Israk dan Mikraj peringkat UNISSA sekali gus bagi meningkatkan kefahaman serta pengetahuan tentang isi forum yang disampaikan.