Khamis, November 20, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Isu anak tanpa dokumen, penduduk diminta buat permohonan

    TAWAU, 20 NOV – Kementerian Dalam Negeri menasihati penduduk Sabah yang berdepan kemelut anak tanpa dokumentasi akibat masalah perkahwinan ibu atau bapa warganegara, supaya tampil membuat permohonan kewarganegaraan di bawah perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

    Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pihaknya sedia membantu namun permohonan daripada pihak terbabit diperlukan untuk penelitian termasuk pengumpulan data.

    “Permohonan itu nanti akan diuruskan oleh jawatankuasa bersama (Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan oleh kerajaan Sabah dan KDN), tahun ini pun diadakan dua mesyuarat jawatankuasa itu di peringkat saya dan (Ketua Menteri) Datuk Seri Hajiji Noor dan kami telah meluluskan sejumlah permohonan yang dikemukakan mengikut lunas undang-undang.

    “Walaupun ini satu permulaan kecil namun kami percaya kami di atas landasan yang betul.

    Perkahwinan mesti didaftarkan mengikut undang-undang, kalau tidak, anak-anak dilahirkan menjadi mangsa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Pimpinan Masyarakat DUN Merotai, hari ini.

    Saifuddin Nasution berkata kerajaan telah melakukan perkara yang betul dari aspek peraturan dan undang-undang iaitu mewujudkan jawatankuasa bersama antara kerajaan negeri dan KDN.

    Terdahulu ketika berucap, beliau berkata permohonan itu perlu didaftarkan dengan Jabatan Ketua Menteri dan dilengkapkan dengan pengesahan termasuk daripada ketua kampung di lokasi mereka melangsungkan perkahwinan.

    “Kita susun balik, termasuk daftar semula perkahwinan bersama Jabatan Agama Islam meskipun perkahwinan sudah lama, ikut lunas undang-undang, kemudian permohonan akan diteliti sebelum diluluskan untuk pemberian dokumen pengenalan diri.

    “Kita jangan hukum anak-anak, kerana anak-anak ini mahu ke sekolah susah, sakit demam mahu ke hospital perlu bayar mahal akibat ketiadaan dokumen pengenalan ini, menjadi tanggungjawab kita untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya. – Bernama

    Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Pimpinan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 di Restoran Arik Merotai Besar, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda