Thursday, February 6, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Isu bekalan air rendah

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Jabatan Kerja Raya (JKR) ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa kerja-kerja membaik pulih Loji Rawatan Air Peringkat 4 dan 5 Bukit Barun, Tutong sedang dalam proses untuk dilaksanakan.

    JKR dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini menjelaskan, kerja-kerja membaik pulih amat penting bagi memastikan loji yang berusia lebih 28 tahun itu dapat berfungsi dengan efisyen dan pengeluaran air bersih kepada orang ramai tidak terganggu.

    JKR juga memaklumkan perlaksanaan kerja-kerja membaik pulih itu nanti tidak akan menjejaskan penghasilan air bersih dari loji berkenaan, bagaimanapun, impak semasa perlaksanaan akan menyebabkan penghasilan air bersih sedikit berkurangan.

    Keadaan tersebut akan menjejaskan bekalan air kepada orang ramai terutama di beberapa kawasan penghujung sistem bekalan air di Daerah Brunei dan Muara khususnya perumahan Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Lambak Kanan dan kawasan sekitarnya.

    Sehubungan dengan ini, JKR telah melaksanakan beberapa persediaan untuk menangani gangguan bekalan air yang dijangka berlarutan lebih kurang 12 bulan bermula dari masa kerja-kerja membaik pulih dijalankan.

    Langkah-langkah yang diambil ialah melaksanakan pembekalan air alternatif dari sumber tangki yang lain untuk sebahagian kawasan RPN Kampung Lambak Kanan, mengemas kini peningkatan penghantaran tangki-tangki air serta meningkatkan penyimpanan tangki air pada kawasan yang tinggi dan tempat-tempat yang difikirkan perlu.

    Bagi mendapatkan bekalan air bersih atau sebarang aduan mengenai bekalan air, orang ramai dinasihatkan agar menghubungi Talian Darussalam 123 dan JKR sentiasa berusaha untuk memberikan makluman awal berhubung gangguan bekalan air.

    JKR dalam kenyataan itu juga memohon kerjasama orang ramai untuk berjimat cermat menggunakan air bagi mengurangkan gangguan dan memastikan semua pengguna mendapat bekalan air yang cukup.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda