KUALA LUMPUR, 18 DIS – Masalah gangguan bekalan beras putih tempatan semakin mereda, dibantu hasil tuaian padi hujung tahun oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata bagaimanapun, bekalan beras tempatan dalam negara masih belum stabil sepenuhnya, susulan permintaan yang kekal tinggi dalam kalangan pengguna.
“Masih ada (masalah kekurangan beras) tetapi dia reda dan ia masih lagi sedang diusahakan untuk dicukupkan, yang baru tuai sekarang ni sedang dalam proses pengilangan jadi dia baru reda.
“Beras kita hanya baru 65 peratus (kadar sara diri) jadi kita tak cukup 35 peratus, beras tempatan ini sekarang menjadi rebutan sebab harga beras import mahal,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan Lawatan Kerja ke Kebun Komuniti AU2 Taman Keramat, di sini hari ini.
Mohamad berkata MADA juga sedang dalam proses penanaman semula padi, bagi bekalan tahun hadapan.
Sementara itu dalam lawatan tersebut, beliau turut menggalakkan komuniti di bandar-bandar besar untuk terlibat dalam usaha keterjaminan makanan, dengan berbakti kepada tanah melalui pembukaan kebun komuniti di kawasan lapang yang sesuai. – Bernama


