Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Isu di perairan negara dibangkitkan

    Oleh Nurdiyanah R. –

    TUTONG, 16 OGOS – Sebagai usaha untuk terus meningkatkan kesedaran dan pengetahuan orang awam mengenai isu-isu keselamatan perairan di negara ini, Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) dengan kerjasama Task Force Keselamatan Pelantar Minyak Luar Pantai (TF KPMLP) telah mengadakan sesi muzakarah di antara agensi-agensi keselamatan dan penguatkuasaan maritim bersama penghulu-penghulu mukim dan ketua ketua kampung di Daerah Tutong, hari ini.

    Antara yang hadir pada sesi muzakarah yang berlangsung di Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Daerah Tutong itu ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan dan Yang Berhormat Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub; Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri; dan Penguasa Kanan Polis, Pengiran Muhaimin bin Pengiran Haji Mustapha yang juga Pengerusi TF KPMLP.

    Acara berkenaan telah dimuatkan dengan beberapa siri taklimat yang disampaikan oleh Haji Osmera bin Haji Othman dari BSP; Timbalan Penguasa Polis Awang Kasnol bin Haji Muhammad Kincho dari Polis Marin, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB); dan Penyelia Penguatkuasa, Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam, Pengiran Bahrain bin Pengiran Haji Mohammad.

    Antara yang disentuh dalam sesi taklimat berkenaan ialah berhubung kawasan-kawasan zon keselamatan yang mana secara amnya, mana-mana kapal ditegah untuk memasuki kawasan 500 meter dari mana-mana pelantar minyak. Selain daripada zon keselamatan pelantar minyak, terdapat juga zon keselamatan padang minyak iaitu di kawasan Padang Minyak Champion, Magpie, Fairley, dan South West Ampa.

    Pengisian taklimat antaranya turut menjelaskan bagi kesalahan-kesalahan di bawah zon keselamatan pelantar minyak, pihak penguatkuasa mempunyai kuasa untuk menahan, menaiki kapal, memeriksa, menyoal siasat, memanggil orang-orang yang terlibat dan membawa kapal balik ke mana-mana tempat penurunan kapal. Zon keselamatan ini adalah termaktub di Merchant Shipping (Safety Zone) Order 1988 dan Merchant Shipping (Safety Zones) (Amendment) Order 2013.

    Dalam taklimat berkenaan turut dikongsikan mengenai statistik kes siasatan pencerobohan pelantar dan padang minyak dari tahun 2022 sehingga Ogos 2023 iaitu sebanyak 11 kes dicatat pada tahun 2022 manakala lapan kes yang dicatat setakat ini pada Ogos 2023.

    Antara yang turut dikongsikan untuk kesedaran bersama ialah satu kes yang berlaku pada 23 November 2022, hasil daripada operasi sepadu telah menahan sebuah perahu berserta pemandu yang didapati berada di dalam Padang Minyak Magpie. Perahu bersama dengan pemandu dibawa ke Pangkalan Polis Marin untuk siasatan lanjut.

    Turut hadir ialah kakitangan BSP, ahli-ahli TF KPMLP serta pegawai-pegawai kerajaan yang berkenaan.

    Antara yang hadir semasa sesi muzakarah tersebut. – Gambar oleh Nurdiyanah R.
    Gambar serahan PKWE Daerah Tutong
    Gambar oleh Nurdiyanah R.
    Gambar oleh Nurdiyanah R.
    Gambar oleh Nurdiyanah R.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda