Friday, May 9, 2025
31.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Isu doping: Atlet maraton terpantas Brazil digantung 5 tahun

    MONACO, 8 MEI – Atlet maraton terpantas Amerika Selatan, Daniel do Nascimento dari Brazil, digantung lima tahun selepas diuji positif mengambil tiga jenis steroid, sebulan sebelum Sukan Olimpik Paris 2024, menurut kenyataan Unit Integriti Olahraga (AIU), kelmarin.

    Pelari berusia 26 tahun itu turut terlepas peluang menyertai Sukan Olimpik Los Angeles 2028, memandangkan penggantungan akan berakhir pada Julai 2029.

    Kejayaan Do Nascimento melonjak pada tahun 2022 apabila mencatat masa 2 jam 4 minit 51 saat di Maraton Seoul, satu pencapaian yang menjadi rekod peribadi dan turut melayakkannya ke Olimpik Paris.

    Dia juga menamatkan Kejohanan Dunia di Oregon di kedudukan kelapan serta mengetuai perlumbaan Maraton New York sejauh lebih 20 batu sebelum rebah.

    Bagaimanapun, AIU mendedahkan bahawa dia disahkan positif steroid metenolone, drostanolone dan nandrolone menerusi dua ujian sampel air kencing yang diambil ketika menjalani latihan di Rio de Janeiro pada Julai tahun lalu.

    AIU menyatakan terdapat ‘bukti jelas penggunaan pelbagai bahan terlarang’ oleh atlet tersebut, yang asalnya dikenakan penggantungan enam tahun namun dikurangkan kepada lima tahun selepas dia mengakui kesalahan doping dan menerima hukuman. – AP

    Gambar fail Daniel Do Nascimento semasa mengikuti pertandingan Marathon New York City pada 6 November 2022. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda