KUALA LUMPUR, 30 Mac – Sebarang perbincangan mengenai topik teknologi kewangan (fintech) dan pengubah digital sewajarnya tidak menjejaskan industri perbankan daripada terasnya sebagai pengurus kewangan yang dipercayai atau dijadikan alasan bagi melewatkan amalan teknologi tersebut.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Inovasi, Mudah Tunai dan Pengurusan Tunai Global HSBC Asia, Jennifer Doherty berkata teknologi perlu berlaku dalam persekitaran yang selamat dengan data pengguna atau pelanggannya dilindungi.
Laporan Global Trust in Technology (Kepercayaan Global Terhadap Teknologi) 2017 HSBC mendedahkan, apabila membabitkan kewangan, orang ramai lebih berminat mendapatkan keselamatan serta berhati-hati terhadap pihak yang menguruskan wang mereka.
“Kepercayaan serta amanah adalah teras untuk semua bentuk hubungan. Pihak bank juga sejak berdekad lamanya telah membina infrastruktur yang luas, membangunkan penyelesaian bagi pematuhan dan keperluan kawal seliaan serta paling penting, mendapatkan kepercayaan pelanggan.
“Untuk terus kekal relevan, mereka (pihak bank) tidak boleh tersasar daripada tujuan asas iaitu menjaga dan bertanggungjawab menjaga wang milik pelanggan mereka,” katanya.
Doherty berkata pihak bank juga perlu menggunakan teknologi lebih baik bagi menambah baik pengalaman pelanggan masing-masing.
Beliau berkata kumpulan HSBC misalnya telah mewujudkan pasukan pelaburan strategik untuk meninjau landskap syarikat pemula niaga, mengenal pasti syarikat yang berpotensi sebagai pelaburan baik dan menyediakan teknologi yang boleh digunapakai.
Menurutnya, kumpulan itu juga percaya dengan bertindak sebagai pelabur dan pelanggan akan mendapat manfaat bersama baik untuk pihak bank serta syarikat pemula niaga itu sendiri. – Bernama