KUALA LUMPUR – Isu haiwan jalanan di negara ini merupakan satu masalah yang bermula dengan sikap manusia, khususnya kegagalan pemilik melaksanakan tanggungjawab menjaga kebajikan haiwan peliharaan mereka termasuk mengambil jalan mudah membuang haiwan-haiwan tersebut apabila sakit atau tidak lagi mampu menjaganya.
Lambakan haiwan jalanan ini seterusnya mewujudkan masalah kepada masyarakat umum, khususnya dari segi keselamatan dan kesihatan, dan beban bagi menangani permasalahan ini diserahkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Kerap terpalit pelbagai tuduhan oleh aktivis dan pencinta haiwan seperti melupuskan haiwan jalanan tanpa perikemanusiaan, PBT telah menambah baik pengurusan masalah ini bersandarkan dasar dan peraturan yang diperkenalkan oleh KPKT sejak lebih sedekad lalu.
Malah, KPKT juga secara aktif menyalurkan peruntukan khusus kepada PBT di seluruh negara bagi menangani masalah haiwan jalanan seperti kucing dan anjing. Pada tahun ini misalnya, kementerian itu memperuntukkan RM10,000 kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru untuk melaksanakan program pemandulan, vaksinasi, advokasi dan pengambilan haiwan angkat.
Tahun lepas, kementerian itu menyalurkan keseluruhan RM1.21 juta kepada PBT untuk menjalankan tujuh kempen berkaitan alam sekitar termasuk pengurusan haiwan jalanan.



Selain itu, beberapa PBT juga telah mengambil langkah lebih proaktif seperti mewujudkan pusat perlindungan untuk haiwan jalanan yang diambil di kawasan masing-masing, antaranya Majlis Perbandaran Sepang, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Majlis Bandaraya Diraja Klang.
REALITI STATISTIK DAN IMPAK KAWASAN PANAS
Berkongsi pengalaman dengan Bernama dalam aspek pengurusan haiwan jalanan, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) berkata sepanjang tahun lalu, mereka menerima 1,851 aduan berkaitan gangguan haiwan di kawasan awam, termasuk kucing dan anjing.
“Daripada jumlah itu, 1,393 melibatkan anjing, 222 aduan berkaitan kucing dan gagak sebanyak 96 aduan,” kata Pengarah Jabatan Kesihatan MBSJ Dr Nurnawwar Arpaaii dalam temu bual dengan Bernama.
Menurut beliau, dalam menguruskan isu itu, mereka menggunakan beberapa peraturan termasuk Undang-undang Kecil Pelesenan Anjing 2007 serta SOP Pengurusan Haiwan oleh KPKT 2014.
Setiap aduan akan disiasat, dan bagi kes melibatkan hidupan liar kes diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan), sementara haiwan domestik seperti anjing dan kucing ditangani oleh unit khas MBSJ melalui penangkapan dan penempatan sementara di Pusat Haiwan MBSJ di Taman Perindustrian Puchong Utama.
Haiwan diberi makanan, rawatan dan persekitaran bersih melalui peruntukan khas. MBSJ juga menolak sebarang dakwaan kekejaman dan menegaskan komitmen terhadap kebajikan haiwan, sejajar dengan SOP KPKT yang menekankan penambahbaikan pusat tahanan haiwan ke arah sistem tanpa bunuh yang lebih bersih, adil dan berperikemanusiaan.
Sebagai langkah pencegahan jangka panjang, MBSJ memperkenalkan sistem pelesenan anjing yang mewajibkan setiap pemilik mendapatkan lesen bagi haiwan peliharaan berumur tiga bulan ke atas.
Lesen ini bertujuan mengawal populasi anjing, memastikan vaksinasi lengkap serta memudahkan pemantauan kesihatan dan tingkah laku haiwan dalam komuniti bandar.
“Langkah ini bukan sahaja mengurangkan risiko penyakit seperti rabies, tetapi juga menggalakkan pemilikan haiwan yang bertanggungjawab,” jelas beliau, menambah mereka juga menyediakan garis panduan pemeliharaan anjing termasuk had bilangan anjing di kediaman dan peraturan khas bagi rumah bertingkat.
Namun begitu, cabaran utama masih wujud. Aduan berulang di lokasi sama menimbulkan persoalan tentang keberkesanan penyelesaian jangka panjang.
Kawasan perumahan dan taman awam berhampiran kawasan komersial dikenal pasti sebagai ‘kawasan panas’, dengan rekod dalaman menunjukkan aduan berulang dalam tempoh enam bulan. Antara puncanya ialah tindakan individu memberi makanan secara tidak terkawal yang menarik haiwan kembali ke lokasi tersebut.
Kekangan lain termasuklah jumlah anggota penguat kuasa yang masih agak terhad berbanding jumlah aduan diterima.
“Saya ingin menegaskan keperluan menggunakan saluran rasmi seperti WhatsApp hotline dan aplikasi MBSJ. Tindakan segera hanya dapat diambil jika aduan lengkap dengan lokasi dan bukti visual.
Aduan menerusi media sosial tanpa laporan rasmi menyukarkan siasatan kami,” tambahnya sambil berharap masyarakat lebih cakna dan mematuhi prosedur agar setiap aduan dapat ditangani dengan berkesan.
CABARAN LAPANGAN, DASAR DAN KETERBATASAN STRUKTURAL
Pengurusan haiwan jalanan di kawasan bandar merupakan satu cabaran yang kompleks dan berlapis bagi PBT, kata Dr Nurnawwar, dan menambah meskipun pasukan operasi sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan, realiti di lapangan sering kali tidak menentu serta sukar dikawal sepenuhnya.
“Keadaan fizikal sesuatu kawasan, cuaca yang tidak menentu serta reaksi masyarakat setempat merupakan antara faktor yang boleh menjejaskan kelancaran operasi,” jelas beliau.
Beliau turut menjelaskan bahawa faktor geografi sering menjadi antara halangan utama dalam pengurusan haiwan jalanan. Kawasan yang sukar diakses seperti semak tebal, lereng bukit atau struktur bangunan bertingkat tinggi menyukarkan kerja-kerja kawalan.
Selain cabaran fizikal, isu keselamatan petugas juga perlu diberi perhatian serius kerana ada kes anggota penguat kuasa digigit anjing atau diserang lebah semasa menjalankan tugas, tambah beliau dan menjelaskan buat masa ini struktur operasi sedia ada masih bersifat reaktif, iaitu bergantung pada aduan awam.
Keperluan pembangunan bandar turut menambah kerumitan kerana apabila kawasan baharu dibangunkan, habitat asal haiwan terganggu menyebabkan ia memasuki kawasan petempatan manusia. Tanpa pelan perancangan yang mengambil kira aspek ekologi, isu haiwan jalanan akan terus berlaku.
“Sebenarnya, konflik antara dasar perbandaran dan perlindungan haiwan hanya dapat ditangani melalui penyelarasan bersepadu antara PBT, Perhilitan, Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Malaysia,” tegasnya yang mengesyorkan dasar holistik dan berperikemanusiaan dirangka untuk memastikan keseimbangan antara kemajuan dan kelestarian ekosistem bandar.
PENDIDIKAN AWAM DAN TANGGUNGJAWAB KOMUNITI
Fenomena individu yang memberi makan haiwan jalanan secara bebas, terutamanya di kawasan perumahan padat, telah menyumbang kepada peningkatan konflik manusia-haiwan.
Amalan ini, walaupun dilakukan dengan niat baik, akhirnya mewujudkan kelompok haiwan yang berkumpul dan membiak tanpa kawalan, sekali gus meningkatkan ancaman terhadap komuniti setempat.
Difahamkan beberapa PBT di negara ini mewujudkan peruntukan undang-undang kecil yang melarang pemberian makanan kepada haiwan jalanan tanpa kawalan.
Namun, penguatkuasaan dan liputan perundangan itu masih terhad dengan kadar denda yang dikenakan juga rendah, sekali gus impak terhadap pencegahan agak kecil.
Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) secara umumnya memberi kuasa kepada PBT untuk memperkenalkan undang-undang kecil, termasuk bagi tujuan pengurusan kes kacau ganggu dan haiwan merayau.
Sebagai contoh, Majlis Bandaraya Pulau Pinang telah menggubal Undang-Undang Kecil Haiwan Merayau pada 1990. Undang-undang ini merangkumi larangan memberi makan haiwan tanpa kawalan serta membenarkan tindakan seperti sitaan atau penembakan terhadap haiwan liar yang mengganggu.
Namun begitu, pelaksanaan denda dan kompaun di bawah undang-undang kecil ini secara relatifnya rendah.
Menurut peruntukan Akta 171, PBT boleh mengenakan denda maksimum sebanyak RM1,000 atau kompaun hingga RM500 bagi kesalahan ringan, dengan tambahan denda harian sebanyak RM200 sekiranya kesalahan berterusan.
Struktur penalti sedia ada ini dianggap tidak mencukupi untuk memberi kesan pencegahan yang efektif terhadap perbuatan memberi makanan kepada haiwan secara tidak terkawal.
Menurut Dr Nurnawwar, walaupun MBSJ belum menggubal undang-undang sedemikian, mereka melaksanakan banyak inisiatif lain yang bersifat proaktif, termasuk menggalakkan masyarakat mengambil langkah lebih beretika dengan mengadopsi haiwan jalanan, memastikan haiwan dimandulkan dan mendapatkan vaksinasi. – Bernama

