Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Isu keciciran pembelajaran jadi keutamaan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MAC – Dalam isu keciciran pembelajaran atau learning lost akibat kesan pandemik COVID, Kementerian Pendidikan telah mengambil inisiatif melaksanakan kaji selidik sejak sekolah dibuka pada April 2022.

    Kaji selidik berkenaan adalah bagi memantau keberadaan pelajar terhadap kompetensi yang diharapkan yang mana tiga mata pelajaran teras telah diguna pakai sebagai menyukat kompetensi tersebut.

    Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh mengulas isu itu semasa menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim pada hari kelapan permesyuaratan MMN di Dewan Majlis, hari ini.

    Yang Berhormat Datin seterusnya mengongsikan, pelajar Tahun 1 hingga 11 telah menunjukkan pencapaian yang sangat rendah dan pada segi kompetensi yang diharapkan bagi standard mereka yang mana ia lebih rendah daripada keputusan petunjuk prestasi utama (KPI) yang dikumpulkan setiap tahun.

    Ini yang menyebabkan keutamaan Kementerian Pendidikan telah digubal dan diubah menjadikan keciciran pembelajaran menjadi satu aktiviti utama dan apa juga aktiviti yang dibuat oleh pihak kementerian.

    “Jika dilihat secara purata bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris, paling tinggi 32 peratus bagi Tahun 4 dan yang lain lebih rendah daripada 34 peratus, dan jika dilihat daripada KPI, kita mengharapkan sasaran adalah 80 peratus pelajar sudah mencapai tahap mereka, tapi selepas COVID memang dikesalkan dan ini yang sebenarnya terjadi,” kongsinya.

    Selain itu, beliau turut memberi res-pons mengenai mata pelajaran yang diperolehi semasa peperiksaan O Level pada 2022 di mana pihak kementerian telah membuat penganalisisan mengenai mata pelajaran yang meningkat pencapaiannya dan ada juga yang menurun.

    Bagi peperiksaan O Level, jelasnya, jika dibandingkan dengan 2021 di mana peperiksaan di buat melalui SAG bukan secara fizikal, pencapaian mata pelajaran yang sangat terjejas adalah Combined Science, Bahasa Melayu dan Pengetahuan Ugama Islam.

    “Sementara mata pelajaran yang lain seperti Bahasa Inggeris, Matematik D, Fizik, Biologi dan Chemistry memang menurun pencapaiannya tapi kurang daripada 10 peratus,” kongsi Yang Berhormat Datin.

    Manakala itu, jika dibandingkan pada 2010 di mana format peperiksaan adalah sama, ada peningkatan dari tiga mata pelajaran iaitu Biologi, Chemistry dan Pengetahuan Ugama
    Islam.

    Prestasi penurunan kurang daripada 10 peratus, tambahnya, juga diteliti dalam lima pelajaran iaitu Matematik D, Fizik, Bahasa Melayu, Combined Science dan Bahasa Inggeris.

    Yang Berhormat Menteri Pendidikan turut mengongsikan prestasi pelajar dalam peperiksaan A level di mana terdapat penurunan yang sangat besar dalam mata pelajaran yang bukan sains antaranya Travel Tourism, Usuluddin, Geografi, Sejarah, Bahasa Melayu dan sebagainya.

    “Manakala mata pelajaran yang lain pula, seperti Matematik, Art and Design, Ekonomi, Biologi, Fizik, Chemistry, walaupun ada penurunan tapi penurunannya adalah jauh kurang daripada mata pelajaran yang bukan berupa sains,” jelas beliau lagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda