BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Okt – Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi telah menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia bagi Pasifik Barat ke-68 yang berlangsung selama lima hari hingga hari ini di Brisbane, Australia.
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan, di sini hari ini, menteri-menteri kesihatan dan perwakilan dari 37 buah negara dan kawasan-kawasan di Rantau Pasifik Barat bersidang setiap tahun pada mesyuarat jawatankuasa serantau berkenaan untuk membincangkan keutamaan-keutamaan dan tindakan yang akan membawa kesihatan lebih baik kepada penduduk dunia.
Sesi ke-68 tahun ini menyaksikan kehadiran ketua pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang baru, Dr. Tedros Adhanum Ghebreyesus dan Pengarah Serantau Pejabat Rantau Pasifik Barat, Dr. Shin Young-Soo yang masing-masing menyampaikan ucapan.
Semasa mesyuarat berkenaan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain selaku ketua delegasi Brunei Darussalam mengongsikan bahawa pencegahan dan kawalan penyakit-penyakit tidak berjangkit (NCDs) kekal menjadi keutamaan kebangsaan dan Brunei akan meneruskan kolaborasi sedia ada dengan Pejabat Rantau Pasifik Barat.
Beliau telah menekankan bahawa kejayaan kolaborasi dinilai melalui pelaksanaan pelan-pelan tindakan yang mengubah keadaan sebenar untuk memperbaiki kesihatan dan kesejahteraan penduduk.
Menteri Kesihatan menyatakan bahawa NCDs juga mesti dianggap isu-isu penting untuk kepimpinan WHO bergerak ke hadapan, terutamanya dalam menyokong pengukuhan rangka kerja perundangan bagi pencegahan dan kawalan NCDs.
Menurut kenyataan itu lagi, mesyuarat berkenaan juga membincangkan mengenai perkara-perkara berkaitan dengan keselamatan makanan dan mengenai cara-cara untuk melindungi anak-anak daripada kesan buruk pemasaran makanan.
Brunei Darussalam telah menyuarakan pandangan bahawa isu berkenaan memerlukan respons dan tindakan segera daripada agensi-agensi serantau dan antarabangsa ekoran sifat rentas sempadan industri makanan, pendigitalan kempen-kempen pemasaran dan peningkatan pergerakan makanan, perkhidmatan, maklumat dan manusia merentas sempadan negara.
Brunei telah menyatakan sokongannya bagi inisiatif-inisiatif menangani isu berkenaan dan percaya bahawa kuasa besar syarikat-syarikat media dan industri teknologi dalam talian juga perlu mengambil kira keupayaan mereka untuk bertindak sebagai ejen dalam mengukuhkan literasi kesihatan dalam kalangan orang ramai.
Kenyataan menambah, mesyuarat itu juga membincangkan isu-isu berkaitan dengan kecemasan-kecemasan kesihatan awam di mana, Brunei mengulang sokongan berterusannya ke arah memastikan sistem kesihatan yang kukuh yang dapat bertindak balas kepada kecemasan kesihatan awam, pada masa yang sama terus menyediakan penjagaan kesihatan biasa yang penting.
Ini bermakna bahawa persediaan kecemasan tidak boleh dilihat sebagai sesuatu yang dilakukan secara berasingan tetapi mesti diintegrasikan ke dalam sistem kesihatan keseluruhan.
Turut menjadi agenda semasa mesyuarat berkenaan adalah topik-topik mengenai hepatitis, tuberkulosis, gender dan kesihatan, dan promosi kesihatan.
Semasa sesi berkenaan, menurut kenyataan itu, delegasi Brunei Darussalam telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Kesihatan dan Menteri Sukan Australia, Greg Hunt MP.
Pertemuan itu antara lain membincangkan mengenai peluang-peluang untuk belajar daripada pengalaman-pengalaman terbaik Australia dari segi pendekatan berbilang sektor dalam memperbaiki kesihatan penduduk, yang berkaitan dengan NCDs dan tanggapan tingkah laku untuk mengubah gaya hidup rakyat ke arah kehidupan sihat.
Delegasi berkenaan juga membincangkan mengenai kemungkinan kolaborasi dengan Australia dalam bidang-bidang berkaitan dengan makanan lebih sihat dan selamat.
Di samping itu, delegasi juga mengadakan pertemuan dua hala dengan Naib Menteri Kesihatan Jepun, Dr. Yasuhiro Suzuki. Secara berasingan, delegasi juga mengadakan pertemuan dengan Dr. Shin Young- soo.
Semasa di Brisbane, delegasi Brunei juga telah mengadakan sesi dialog bersama doktor-doktor perubatan Brunei yang sedang menjalani latihan di pelbagai hospital dan institusi perubatan di Queensland, Australia.
Turut menghadiri siri mesyuarat berkenaan ialah Pesuruhjaya Tinggi Brunei Darussalam ke Australia, Haji Zakaria bin Haji Ahmad, Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Zakaria bin Haji Serudin dan pegawai-pegawai lain dari Kementerian Kesihatan dan Suruhanjaya Tinggi Brunei di Australia.