Sunday, February 9, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Isu Laut China Selatan tidak mustahil untuk diatasi

    KUALA LUMPUR, 4 APRIL – Tiada penyelesaian mudah bagi tuntutan bertindih wilayah di Laut China Selatan tetapi masalah itu bukanlah satu yang tidak dapat diatasi selagi ada ruang dialog, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam temu bual dengan China Daily, semasa lawatannya ke China minggu lalu.

    Dalam temu bual dengan syarikat media berbahasa Inggeris terbesar di China itu dan diterbitkan hari ini, Anwar menegaskan isu Laut China Selatan tidak seharusnya menjadi ‘isu besar’ dan dialog dengan negara-negara ASEAN lain yang turut menuntut hasil sumber laut itu harus dilihat sebagai jalan penyelesaian.

    “Saya telah menyatakan bahawa kita mempunyai potensi minyak dan gas di kawasan itu dan kita perlu meneruskan tuntutan di kawasan itu tetapi pihak China mahu membincangkannya, jadi kita berbincang.

    “Saya percaya tiada penyelesaian mudah untuk masalah itu. Sambil kita menganggap satu sama lain sebagai kawan, kita terus berdialog, masalah ini bukanlah satu yang tidak boleh diatasi,” katanya. Anwar berkata beliau gembira kepimpinan China juga bersetuju untuk terlibat dalam sesi dialog dan mewujudkan kesefahaman yang perlu mengenai isu itu.

    “Saya akan katakan perkara yang kita persetujui ialah 95 peratus, dan lima (peratus) kita tidak bersetuju, ia tidak sepatutnya menimbulkan masalah,” kata Anwar.

    Dalam temu bual itu, Anwar turut menekankan bahawa rantau Asia Tenggara harus terus diterajui ASEAN berteraskan dasar berkecuali dan zon aman kumpulan itu, di samping menjalin hubungan baik dengan semua negara.

    “ASEAN konsisten dalam memastikan kita terus menjalin hubungan baik dengan semua negara. 

    “Pendirian ASEAN adalah untuk terus mengadakan penglibatan dialog yang rancak dan mantap dengan China, kerana ia memberi manfaat bukan sahaja kepada Malaysia tetapi semua negara ASEAN,” katanya. – Bernama

    Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan, kelmarin. Beliau berkata tiada penyelesaian mudah bagi tuntutan bertindih wilayah di Laut China Selatan tetapi masalah itu bukanlah satu yang tidak dapat diatasi selagi ada ruang dialog. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda