Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JUN – Ahli-ahli Majlis Antara Parlimen ASEAN (AIPA), hari ini, bersidang dalam Mesyuarat Majlis Nasihat AIPA mengenai Dadah Berbahaya (AIPACODD) ke-3 yang diadakan secara dalam talian untuk membincangkan masalah-masalah penyalahgunaan dadah di rantau ASEAN yang semakin membimbangkan.
Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadii menghadiri mesyuarat tersebut yang dianjurkan oleh Perhimpunan Kebangsaan Vietnam dengan tema Turning Words into Actions towards a Drug Free ASEAN Community.
Mesyuarat juga dihadiri oleh wakil-wakil daripada pegawai-pegawai kanan ASEAN mengenai Dadah (ASOD) dan wakil daripada Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) yang telah mengongsikan cabaran dan pengalaman mereka dalam membendung gejala dadah.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat di sini, perkara utama yang dibincangkan semasa mesyuarat tersebut adalah mengenai pengedaran dadah daripada wilayah ‘Golden Triangle’ yang masih belum dapat dikawal dengan sepenuhnya.
Dalam hubungan itu, AIPA berperanan besar melalui pihak eksekutifnya untuk dapat sama-sama mengawal melalui peraturan dan pengawalan dalam pencegahan penyalahgunaan dadah.
Ini termasuk implementasi ubat-ubatan semasa rehabilitasi bagi pesalah-pesalah kerana perkara ini perlu mengambil kira hak asasi manusia dan ini tertakluk kepada peraturan-peraturan bagi sesebuah negara itu dengan melibatkan pihak-pihak bukan kerajaan (NGO).
Mesyuarat turut membincangkan situasi pencegahan dadah dalam konteks pandemik COVID-19 yang merubah skop pengedaran dan cabaran-cabarannya.
Kenyataan menambah, mesyuarat telah meluluskan satu resolusi mengenai Turning Words into Action towards a Drug-Free ASEAN Community yang menumpukan perhatian sepenuhnya untuk negara-negara ahli AIPA dalam perkara-perkara bagi menangani dadah di rantau ini.
Ini termasuk memastikan pelaksanaan berkesan aktiviti ASEAN Work Plan on Securing Communities Against Illicit Drugs 2016-2025 in addressing the illicit drug activities, selain meningkatkan kesedaran akan bahaya dadah dan meningkatkan kajian akan kesan COVID-19 kepada pasaran dadah.
Di samping itu, mesyuarat tersebut turut membincangkan mengenai penggunaan dadah dan jenayah yang berkaitan dadah agar dapat menyediakan tindak balas bersesuaian selain dari menggalakkan kerjasama dua hala serantau dan antarabangsa melalui perkongsian maklumat demi untuk mencegah aktiviti pengedaran dadah.
Mesyuarat turut menyentuh mengenai bantuan teknikal dan meningkatkan keupayaan untuk menangani masalah dadah di rantau ini dengan lebih berkesan terutamanya tempoh pasca-COVID-19.
Resolusi berkenaan menekankan perlunya untuk mesyuarat AIPACODD memperkukuhkan kerjasama dengan rangkaian serantau seperti ASEAN Ministerial Meeting on Drug Matters (AMMD) dan ASEAN Senior Officials on Drug Matters (ASOD).
Menurut kenyataan, pada akhir mesyuarat, Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi telah menyampaikan ucapan selaku wakil pengerusi Mesyuarat AIPACODD ke-4 yang akan dianjurkan oleh Negara Brunei Darussalam pada 2021, bahawa Negara Brunei Darussalam menyambut baik usaha dan inisiatif bersama anggota Parlimen AIPA dalam menjayakan pertemuan berkenaan.
Beliau turut menyatakan bahawa masalah-masalah dan isu-isu sebelum COVID-19 terutama isu dadah terlarang terus memberikan kesan dalam komuniti dan seterusnya menekankan perlunya anggota Parlimen AIPA untuk terus membincangkan dan mencari penyelesaian untuk menangani cabaran-cabaran untuk membanteras gejala dadah.
Turut hadir pada mesyuarat dalam talian itu ialah Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis MMN, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Haji Judin bin Haji Asar serta pegawai-pegawai daripada Biro Kawalan Narkotik.