Sunday, May 5, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Isu pengurusan plastik alam sekitar global dipertimbang

    KUALA LUMPUR, 6 SEPT – Sidang Kemuncak ASEAN-Kesatuan Eropah (EU) di Brussels, Belgium, pada Disember ini dijangka membuka peluang kepada lebih banyak kerjasama dua hala berkenaan isu alam sekitar antara kedua-dua wilayah, dengan topik utama seperti menangani pencemaran plastik menerusi pendekatan kitar semula.

    Pesuruhjaya Eropah untuk Alam Sekitar, Lautan dan Perikanan, Virginijus Sinkevicius, yang mengetuai Pelan Tindakan Ekonomi Pekeliling menggalakkan penggunaan sumber mampan, berkata mesyuarat itu antara lain akan membuka peluang kepada perjanjian global mengenai plastik dan menyokong peralihan global kepada ekonomi kitaran seperti digariskan dalam Pelan Tindakan Ekonomi Pekeliling baharu Kesatuan Eropah.

    Beliau berkata perjanjian global itu akan berusaha menangani pencemaran plastik menerusi kitaran hayat bagi meminimumkan salah urus plastik dan menghalangnya daripada mencemarkan alam sekitar.

    “Dalam Perjanjian Plastik Global, pendirian EU adalah jelas – untuk membendung pencemaran plastik – dan untuk itu, kita perlu menguruskan sisa secara cekap merentasi negara dan kita memerlukan prinsip pekeliling untuk mengubah sisa plastik ke arah menjana pendapatan, dengan mencipta peluang pekerjaan baharu,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif di pejabat Delegasi EU semasa lawatan kerjanya di sini, baru-baru ini.

    Seperti yang digariskan menerusi Perjanjian Hijau Eropah dan Pelan Tindakan Ekonomi Pekeliling, EU telah menekankan keperluan pendekatan kitar semula terhadap plastik sebagai asas untuk perjanjian global baharu yang sah. 

    Penyelesaiannya terletak pada pencegahan, reka bentuk dan pengeluaran plastik yang betul, dan penggunaan cekap sumber, diikuti pengurusan yang efisien apabila menjadi sisa.

    Sinkevicius, yang pernah menjadi Menteri Ekonomi Lithuania dari 2017-2019, berkata untuk membolehkan ekonomi kitaran, adalah penting bagi pereka mempertimbangkan aspek kitar semula dalam reka bentuk dan pembangunan produk awal untuk meningkatkan potensi produk. – Bernama

    Virginijus Sinkevicius (kanan) bersama Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia, Siti Nurbaya Bakar (tengah) dan Frans Timmermans (kiri) semasa Perjumpaan Menteri-menteri Alam Sekitar dan Iklim G20 di Nusa Dua, Indonesia, bulan lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Remaja ‘radikal’, 16 tahun mati ditembak polis Australia

    SYDNEY, 5 MEI - Polis Australia Barat menembak mati seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang bertindak ganas selepas menikam seorang lelaki dengan pisau...