Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mac – Walaupun jumlah hasil tunggakan yang perlu dilunaskan oleh pemilik rumah setakat Disember 2018 adalah sebanyak $31.68 juta namun sehingga kini tidak ada rumah yang jatuh ke tangan penjamin.
“Ini kerana dasar skim perumahan yang ada pada masa ini hanya boleh dipindah milik kepada ahli waris terdekat sahaja berpandukan kepada peraturan dan prosedur pindah milik tanah berdasarkan kepada geran tanah Penggal 40,” jelas Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi bin Haji Gafar.
Bagaimanapun, Jabatan Kemajuan Perumahan (JKP) terus mempertingkatkan keberkesanan kutipan hasil dengan memperkenalkan mekanisme peringatan tentang status pembayaran dan tunggakan yang perlu dilunaskan oleh pemilik rumah melalui surat makluman dan salinannya kepada penjamin secara konsisten dan berterusan setiap tiga bulan sekali.
Yang Berhormat Dato semasa menjawab isu penjamin perumahan yang diajukan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad pada Persidangan MMN, petang tadi juga menjelaskan, sebelum pemotongan dibuat ke atas penjamin, JKP pada lazimnya akan mengeluarkan surat makluman kepada pemilik dan juga kepada penjamin dengan menyatakan jumlah tunggakan.
Pihak jabatan juga akan menasihatkan kepada pemilik dan penjamin untuk mencari jalan penyelesaian dan berunding dengan penjamin untuk menyelesaikan tunggakan.

“Jabatan juga memberi tempoh selama tiga bulan bagi kedua-dua pihak untuk berbuat demikian sebelum mengaturkan pemotongan kepada penjamin,” jelasnya.
Isu penjamin adalah salah satu pensyaratan yang memang sudah dimaklumkan awal oleh setiap pemohon yang memohon Skim Perumahan Negara (SPN), di mana dua orang yang diperlukan sebagai penjamin kepada pemilik bagi membolehkannya mendapat peruntukan rumah di bawah SPN ini. Ia merupakan sesuatu yang bertujuan untuk menggantikan pembayaran balik kepada pihak kerajaan dibuat ke atas rumah yang telah diperuntukkan.
“Dan sekiranya benar-benar gagal untuk mendapatkan penjamin, pemohon tidak akan diundi untuk diperuntukkan rumah kerana tidak mencukupi syarat dan rumah berkenaan akan diperuntukkan kepada pemohon lain yang berkelayakan,” tambah Yang Berhormat Dato.
Menurut Yang Berhormat Dato, penjamin bukan hanya terdiri daripada pegawai dan kakitangan kerajaan sahaja, malah ia telahpun dibolehkan bagi mereka yang bekerja di bawah 18 buah syarikat kepunyaan kerajaan yang dibenarkan seperti AMBD, AiTi, BEDB, RB, RBC, TAP dan sebagainya.
Selain itu, Yang Berhormat Awang Iswandy juga ada mengajukan soalan mengenai perlindungan yang diberikan dari segi undang-undang atau dasar pada si penjamin jika yang dijamin tidak dapat membayar.
“Pada masa ini belum ada perlindungan yang diberikan dari segi undang-undang dan dasar kepada si penjamin jika yang dijamin tidak dapat membayar,” jawab Yang Berhormat Dato.
“Tetapi setiap penjamin telah diberi penerangan sebelum menandatangani borang dan taklimat juga diberikan kepada kedua-dua pihak bagi menerangkan dengan jelas pembayaran dan pemotongan gaji penjamin akan dilakukan jika sekiranya pemilik rumah gagal membuat bayaran balik.
“Demi menjaga hak dan kepentingan penjamin, JKP ketika ini sedang meneliti mekanisme untuk mengambil tindakan bersesuaian kepada pemilik yang gagal atau mungkir untuk membayar balik rumah di bawah SPN melalui penguatkuasaan undang-undang dengan merujuk kepada pihak Peguam Negara,” jelas Yang Berhormat Dato.
Yang Berhormat Dato juga berkata bahawa salah satu cabaran yang dihadapi oleh JKP ialah isu tunggakan daripada pemilik rumah dan juga penyewa bangunan serta aset komersial di bawah SPN.
Selain itu, Menteri Pembangunan menjelaskan, sebagai langkah untuk memudahkan dan untuk mempertingkatkan lagi mutu perkhidmatan bagi mengendalikan hal ehwal pembayaran ke arah yang lebih sistematik dan teratur, pihak JKP sedang bekerjasama dengan pihak Jabatan Perbendaharaan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi untuk memulakan projek 1 Common Billing System (CBS).
“Dengan adanya sistem ini nanti, pengurusan hal ehwal pembayaran akan lebih efisien dan efektif di mana ianya akan berkeupayaan untuk membekalkan sistem bil dan kutipan hasil yang siap sedia diintegrasi ke sistem e-payment gateway dan juga membolehkan JKP untuk mengeluarkan bil.
“Ini juga membolehkan jabatan melaporkan kutipan hasil secara automatik, meningkatkan keberkesanan proses kutipan hasil, dan seterusnya mengurangkan kutipan hasil dan juga mengadakan kemudahan bill presentation dan penyatuan bil kerajaan melalui 1 Stop Payment Total,” katanya.
Menurutnya, JKP berharap supaya pemilik akan bersikap lebih telus dan lebih bertanggungjawab untuk membuat pembayaran-pembayaran balik pinjaman rumah sebaik juga tunggakan bagi mengelakkan apa-apa jua permasalahan mengenainya.