PARIS, 20 JUN – Perlawanan persahabatan antarabangsa antara New Zealand dan Qatar telah dibatalkan di Austria semalam selepas pasukan New Zealand mendakwa salah seorang pemain mereka menjadi mangsa perkauman oleh pihak lawan.
Pasukan New Zealand tidak kembali untuk separuh masa kedua perlawanan selepas insiden yang berlaku sejurus sebelum rehat ketika mereka mendahului 1-0.
“Michael Boxall telah dihina secara perkauman semasa separuh masa pertama permainan oleh pemain Qatar. Tiada tindakan rasmi diambil jadi, pasukan telah bersetuju untuk tidak keluar pada separuh masa kedua perlawanan,” tweet persekutuan bola sepak New Zealand.
Ketua Eksekutif Bola Sepak New Zealand, Andrew Pragnell berkata, badan sukan itu menyokong penuh ‘tindakan pemain kami.’
“Kami tidak pernah mahu melihat perlawanan dibatalkan tetapi terdapat beberapa isu lebih besar daripada bola sepak dan adalah penting untuk membuat pendirian,” katanya dalam satu kenyataan.

“Tidak ada tempat bagi perkauman dalam bola sepak,” tambahnya.
Jurulatih Qatar, Carlos Queiroz berkata, kapten New Zealand datang pada separuh masa untuk memaklumkan bahawa mereka tidak akan meneruskan permainan.
Queiroz berkata, dia menjangkakan FIFA akan menyiasat perkara itu.
“Biarkanlah pihak berkuasa bola sepak membuat keputusan mengenai apa yang berlaku,” tambahnya. – AFP

