Thursday, April 3, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Isu rakyat tanpa dokumen ditangani

    KUCHING, 24 JULAI – Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Sarawak telah menubuhkan sebuah pasukan petugas khas bagi menangani isu rakyat tanpa dokumen pengenalan diri di negeri itu.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pasukan itu dibahagikan kepada jawatankuasa induk yang dipengerusikan secara bersama oleh beliau dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dan jawatankuasa teknikal yang dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Pengarah Pendaftaran Negara dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak.

    Beliau berkata jawatankuasa induk akan menentukan soal dasar berkaitan isu dokumen pengenalan diri rakyat, manakala jawatankuasa teknikal akan membuat keputusan berhubung mekanisma dan kaedah untuk menyelesaikan isu berkenaan.

    Bercakap pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Keputusan Kewarganegaraan di sini hari ini, beliau berkata berdasarkan perangkaan dari Jabatan Premier Sarawak, sejumlah 9,314 penduduk di negeri ini telah dikenal pasti tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

    “Kerajaan Sarawak ada pangkalan data yang memudahkan KDN untuk mengenal pasti kedudukan individu ini, dan sebagai permulaan ia memudahkan pasukan petugas khas ke lokasi tertentu untuk menyelesaikan isu yang timbul,” katanya.

    Saifuddin berkata di bawah inisiatif untuk menangani isu ini, ia akan bersifat khidmat bantuan, dengan agensi-agensi yang terlibat dalam pasukan petugas khas ini akan turun padang, tanpa memerlukan individu yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri tampil untuk memohon.

    Pada majlis itu beliau telah menyerahkan sejumlah 62 Surat Keputusan Kewarganegaraan Malaysia kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

    “Inisiatif ini adalah hasil kerjasama antara KDN dan Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak yang diterajui oleh menterinya Datuk Seri Fatimah Abdullah,” katanya. – Bernama

    Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (duduk dua, kanan) bergambar bersama para penerima selepas menyerahkan surat keputusan kewarganegaraan peringkat negeri Sarawak, 24 Julai. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda