LAHAD DATU, 31 Julai – Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) memandang serius isu ratusan ribu rakyat tidak bernegara di Sabah dan menggesa semua pihak agar mengambil peranan aktif menangani masalah itu.
Pengerusinya Azril Mohd Amin berkata masalah tersebut memerlukan penyelesaian jangka panjang dan secara komprehensif bagi memastikan fenomena yang sudah berlarutan sekian lama itu tidak terlepas pandang serta berterusan pada masa akan datang.
“Menerusi laporan berita, tidak kurang daripada 800,000 rakyat yang tidak berkewarganegaraan di Sabah. Bagi MACSA sendiri, sebenarnya kita cenderung untuk melihat kemungkinan kerajaan menandatangani Konvensyen Tanpa Kewarganegaraan sebagai antara penyelesaian isu ini.
“Selain itu, kita lihat bagaimana undang-undang domestik lebih jelas untuk menangani isu ini. Selain kerangka perundangan, kita juga mahu kerangka hak asasi manusia yang jelas untuk disampaikan kepada pihak-pihak berkuasa. Perlu ada mekanisme menyelesaikan masalah mereka tanpa dokumen ini kerana anak-anak mereka perlukan pendidikan. “Mereka perlukan akses kepada pendidikan seperti sekolah dan kemudahan kesihatan. Jadi isu ini serius bagi kami kerana ia menjejaskan banyak perkara termasuk aspek keselamatan. Kita tidak tahu status mereka kerana mereka bukan warganegara,” katanya kepada Bernama. – Bernama