Berkali-kali penyanyi popular, Siti Nordiana minta kepastian apakah benar trofi Artis Sensasi Popular, kategori Ekstra Tonton Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-36 menjadi miliknya.
Bagi Siti Nordiana atau lebih akrab disapa Nana, meskipun kemenangannya berdasarkan undian peminat, namun ia sangat mengejutkan kerana kebanyakan nama dicalonkan lebih sensasi daripada dirinya.
Meskipun masih tercari-cari di manakah sensasi dirinya, namun penyanyi yang meledak dengan lagu Terus Mencintaimu itu akur dengan pilihan peminat.
“Sejujurnya, saya rasa macam tidak percaya kerana ini kali pertama menang kategori Artis Sensasi Popular. Saya sendiri tercari-cari di manakah sensasinya diri ini.
“Mungkin juga ada kaitan dengan kontroversi yang pernah dilalui sebelum ini membuatkan mereka mengundi saya. Sensasilah sangat (ketawa).
“Tapi, perkataan sensasi itu tidak semuanya negatif. Saya juga baru muncul dalam program realiti. Mungkin kerana itu peminat lama berkumpul semula.
“Secara kebetulan, peminat suka dengan persembahan saya, jadi mereka undi saya untuk kategori ini.
“Apapun, saya ucap terima kasih kepada peminat yang mengundi dan penganjur, Berita Harian (BH) kerana mencalonkan saya dalam kategori ini. Alhamdulillah,” katanya kepada BH Online.
Sebelum ini, Siti Nordiana terkait dengan isu panas apabila bertindak memfailkan saman fitnah bernilai RM2.5 juta terhadap lima individu.
Bagaimanapun, kes saman diselesaikan secara baik selepas Siti Nordiana dan lima individu berbincang semula.
Melihat kepada kejayaannya memperjuangkan trofi itu, ternyata dapat dilihat betapa kelab peminat, Siti Nordiana FC begitu setia menyokong kerjaya seninya. – Agensi