Sejak pulang menunaikan ibadah umrah di Makkah, pelakon Isyariana mula berasa segan melepaskan tudung dan kembali kepada imej lama.
Dalam proses memperbaiki diri, Isyariana atau Isyariana Che Azmi, 35, berkata, dia sedang cuba sebaik mungkin mengikut tuntutan Islam dalam soal berpakaian dan aurat.
“Setakat ini saya masih rasa segan hendak buka tudung, sebaliknya apabila pakai rasa seronok dan selamat.
“Saya tak boleh nak jawab sama ada sudah berhijab sepenuhnya atau pun tidak. Saya sedang cuba yang terbaik dan istiqamah,” katanya kepada mStar.
Isyariana berkongsi perkara itu ketika ditemui dalam satu majlis di Setia City Mall, Shah Alam, Selangor pada Sabtu lalu.
Isyariana sedar bukan mudah kekal berhijab selepas sudah terbiasa dengan imej tidak bertudung. Katanya, dia sudah lama memasang niat menutup aurat namun disebabkan komitmen kerja dia melupakan hasrat itu.
“Tahun lalu selepas buat umrah bulan November masih ada komitmen dengan drama dan masih tidak bertudung. Sekarang dah selesai kerja itu saya ambil masa rehat untuk bulan Ramadan dan beginilah saya sekarang,” jelasnya. – Agensi
