BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JUN – Bagi memastikan majikan dari syarikat-syarikat telah mengisytiharkan pengesahan alamat perumahan dan tempat tinggal pekerja asing, Jabatan Buruh telah menjalankan Operasi Sanggah 73/74/75/2020 ke atas perumahan pekerja asing bagi tiga buah syarikat.
Operasi di perumahan pekerja asing di Kampung Jerudong, Subok dan Rimba itu melibatkan tujuh orang pegawai penguatkuasaan undang-undang (LED), Jabatan Buruh.
Hasil daripada operasi berkenaan, tiada sebarang isu dan kesalahan yang didapati, menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Buruh.
Dalam kenyataan itu, Jabatan Buruh mengingatkan kepada para majikan supaya mengisytiharkan alamat perumahan dan tempat tinggal pekerja asing dengan membuat pengesahan alamat perumahan dan tempat tinggal pekerja asing mereka di Jabatan Buruh.
Majikan yang gagal berbuat demikian melakukan kesalahan di bawah Bab 87 Perintah Pekerjaan 2009 dan boleh diambil tindakan iaitu di bawah Bab 148 denda tidak lebih $3,000, penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Orang ramai bolehlah menghubungi Jabatan Buruh di talian 2381848 pada waktu pejabat dan talian hotline 7298989 selepas waktu bekerja jika mempunyai sebarang maklumat mengenai penyalahgunaan Lesen Pekerja Asing.