KUALA LUMPUR, 6 Nov – Sistem pendidikan Malaysia perlu menyemai pengetahuan dalam teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dengan lebih awal, khususnya di kalangan pelajar sekolah menengah, untuk melahirkan inovator bagi menangani keperluan negara ke arah ekonomi digital.
Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz, berkata masanya sudah tiba untuk sistem pendidikan negara merangsang pelajar bagi mempelajari asas pengkomputeran dan bagaimana mereka boleh memberi kesan kepada sistem kewangan tradisional dan sebagai pembawa pembaharuan.
“Bukan kerohanian, pengajaran moral atau bahasa kebangsaan yang akan digunakan dalam sistem, yang akan dipakai adalah bahasa ICT dan pengkomputeran,” katanya kepada pemberita sempena Persidangan Asia Pasifik mengenai Isu-Isu Perakaunan Antarabangsa 2017 di sini hari ini.
Persidangan empat hari itu, dihadiri oleh 300 peserta antarabangsa dari 30 buah negara, dianjurkan secara bersama oleh California State University dengan Universiti Antarabangsa Unitar.
Sebelum itu, dalam ucapannya, Rafidah berkata, teknologi dan inovasi baharu amat diperlukan, terutamanya bagi memanfaatkan sumber sedia ada.
“Ini adalah penting bagi bersaing dalam pasaran institusi kewangan yang tradisional dalam penyampaian perkhidmatan kewangan,” katanya.
Mengambil teknologi kewangan (fintech) sebagai contoh, beliau berkata, syarikat-syarikat fintech sedang bersaing secara terus dengan bank-bank konvensional dalam pelbagai bidang kewangan.
“Antara segmen-segmen yang disediakan dalam fintech adalah pembayaran digital, insurans digital, pelaburan dan sebagainya.
Tetapi bidang (keperluan untuk penerokaan) fintech yang baharu adalah dalam kewangan Islam, yang seharusnya menjadi platform dan modalnya mematuhi Syariah,” kata Rafidah. – Bernama