Pengarah terkenal Iran, Jafar Panahi memenangi anugerah Palme d’Or di Festival Filem Cannes menerusi filemnya berjudul It Was Just an Accident, umum juri pada Sabtu, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Filem bergenre thriller itu menewaskan 21 penyertaan lain untuk merangkul anugerah tertinggi festival berprestij itu.
It Was Just an Accident mengisahkan sekumpulan bekas banduan di Iran yang berjaya menculik seorang pegawai penjara yang didakwa menyeksa mereka semasa dalam tahanan.
Panahi, yang pernah dipenjarakan dari Julai 2022 hingga Februari 2023, merupakan antara pengarah filem Iran yang paling terkenal di peringkat antarabangsa.
Sebelum ini, dia pernah memenangi anugerah utama di Festival Filem Venice dan Festival Berlinale di Jerman.
Juri bagi edisi ke-78 Festival Filem Cannes tahun ini dipengerusikan oleh pelakon Juliette Binoche. – Bernama
