PARIS, 25 NOV – Fabio Fognini dan Simone Bolelli meraih kemenangan selepas Itali mengalahkan Amerika Syarikat (AS) 2-1 dalam peringkat suku akhir Piala Davis di Malaga pada Khamis.
Kemenangan itu bererti Itali akan mara ke peringkat separuh akhir bertemu Kanada yang juga menang peringkat suku akhir selepas menewaskan Jerman 2-1.
“Saya berasa sangat gembira, saya bermain bersama ‘abang’ saya. Kami bermain dengan baik,” kata Fognini, selepas pasangan tersebut mengalahkan Jack Sock dan Tommy Paul 6-4, 6-4.
Itali, tanpa kehadiran dua orang pemain teratas, Jannik Sinner (ranking dunia ke-15) dan Matteo Berrettini (ranking dunia ke-16), menewaskan pasukan AS, Taylor Fritz (ranking dunia kesembilan) dan Francis Tiafoe (ranking dunia ke-19). Lorenzo Sonego (ranking dunia ke-45), membuka perlawanan dengan mengalahkan Tiafo 6-3, 7-6 (9/7).
Fritz menyamakan kedudukan selepas dia terselamat dalam set pertama yang sukar, dan mengalahkan Lorenzo Musetti 7-6 (10/8), 6-3. Fognini dan Bolelli, juara Terbuka Australia 2015, menang perlawanan kesembilan dalam set pertama dan perlawanan ketujuh dalam set kedua.
“Saya sangat berbangga dengan semua ahli pasukan saya,” kata kapten, Filippo Volandri.
“Ia rasa seperti kami berada di Itali! Kesemua pemain menunjukkan aksi yang mantap.” Kapten AS, Mardy Fish nampaknya tidak dapat menikmati Thanksgiving.
“Tidak dapat dinafikan ia hari yang sukar. Tidak dapat dinafikan mereka bermain dengan baik hari ini. Mereka pasukan yang hebat,” katanya.
Pada Sabtu, Itali, yang pernah memenangi Piala Davis 1976, akan berdepan naib juara tahun 2019, Kanada. – AFP


