ROM, 28 SEPT – Lebih 150 tan rokok tiruan telah dirampas daripada kilang haram terbesar yang pernah ditemui di Itali, menurut polis kastam dalam satu kenyataan kelmarin.
Menurut pihak polis, sebuah kubu bawah tanah yang menempatkan kilang seluas 1,600 meter persegi berhampiran bandar Cassino di tenggara Rom itu, dianggarkan mampu menghasilkan lebih tujuh juta batang rokok sehari iaitu kira-kira sebanyak 2.7 bilion setahun.
Kilang haram tersebut hanya boleh dimasuki melalui “mekanisme hidraulik canggih yang menyembunyikan sepenuhnya tempat mesin dipasang dan bertan-tan rokok tiruan disimpan,” menurut kenyataan itu.
Manakala, menurut kenyataan daripada kementerian kewangan negara itu, kilang tersebut mampu menghasilkan sekitar 5,000 batang rokok seminit dan turut dilengkapi dengan sistem pengudaraan bagi mengelakkan pelepasan asap daripada proses pengeluaran.
Kilang itu juga menyediakan tempat tinggal sementara termasuk 18 katil, bilik mandi, ruang makan serta bengkel untuk membaiki mesin.
Pihak kementerian tersebut turut memberikan anggaran bagi penghasilan tahunan daripada kilang itu yang melebihi AS$1.05 bilion.
Beberapa suspek turut dikenal pasti dan seorang daripadanya telah ditahan. – AFP


