Wednesday, December 4, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Itali bongkar sindiket seni palsu Eropah

    ROM, 12 NOV – Pihak berkuasa Itali berjaya membongkar sindiket pemalsuan seni Eropah yang menghasilkan karya-karya palsu artis terkenal seperti Andy Warhol, Banksy, dan Pablo Picasso, serta menjualnya kepada pembeli tanpa disedari dengan bantuan rumah lelong yang bersekongkol.

    Sebanyak 38 individu kini disiasat, termasuk enam orang di Sepanyol, Perancis, dan Belgium.

    Menurut pihak berkuasa Itali, sindiket itu dipercayai mampu menyebabkan kerugian ekonomi sehingga AS$212 juta dengan membanjiri karya-karya palsu itu di pasaran seni.

    Kementerian Kebudayaan Itali memaklumkan kelmarin bahawa operasi tersebut membawa kepada rampasan 2,100 karya seni palsu di Itali, Perancis, Sepanyol, dan Belgium, yang dikaitkan dengan lebih 30 artis terkenal termasuk Andy Warhol, Amedeo Modigliani, Joan Miro, Francis Bacon, Wassily Kandinsky, Henry Moore, dan Gustav Klimt.

    Menurut agensi kerjasama kehakiman Kesatuan Eropah, Eurojust, sindiket pemalsuan itu berpangkalan di Sepanyol, Perancis, dan Belgium. Karya-karya palsu Warhol dan Banksy adalah antara yang paling banyak ditemui dan telah dipamerkan dalam pameran di Mestre dan Cortona, Itali, berserta katalog pameran yang diterbitkan.

    Menurut Eurojust, sindiket itu juga mendapat bantuan rumah lelong di Itali yang bersekongkol untuk mengeluarkan sijil dan cap keaslian palsu, dengan kira-kira 500 sijil turut dirampas dalam operasi tersebut.

    Siasatan tersebut bermula pada Mac 2023 apabila pihak berkuasa Itali menemukan 200 karya seni palsu di rumah seorang ahli perniagaan di Pisa, yang membawa kepada pemantauan terhadap laman e-dagang rumah lelong bagi mengesan penglibatan lain dalam sindiket itu.

    Individu yang ditahan kini berdepan tuduhan konspirasi untuk memalsukan dan memperdagangkan seni kontemporari, menurut Eurojust. – AP

    Karya seni moden dan kontemporari palsu yang dirampas oleh pihak polis dipamerkan di Rom, baru-baru ini. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda