ROM, 29 DIS – Ribut melanda sebahagian besar kawasan utara Itali semalam sementara hab perniagaan Milan dilitupi lapisan salji tebal.
Salji kira-kira 20 sentimeter turun di bandar, di mana seorang lelaki berusia 76 tahun meninggal dunia di hospital setelah ditemui di jalan raya.
Pokok-pokok tumbang menjejas lalu lintas, dengan pihak berkuasa menghantar puluhan kenderaan salji untuk membersihkan jalan besar.
Ribut menyebabkan kesesakan lalu lintas di beberapa lebuh raya, terutamanya A26 menuju ke pelabuhan komersial terbesar Itali Genoa, ibu negeri rantau Liguria. Beberapa kereta api terjejas dengan pokok tumbang mencetuskan penangguhan sehingga dua jam.
Terowong St Bernard di sempadan dengan Switzerland ditutup kepada kenderaan berat.
Dengan iklim lembap, Milan jarang melihat salji pada skala besar namun melihat 90 sentimeter salji pada Januari 1985, dengan turunan salji lebih kecil pada 2006 dan 2009.
Rom dilanda hujan lebat serta angin kencang dan ribut. Cuaca sejuk itu dijangka beralih ke selatan rantau Campania di sekitar Naples, di mana hujan lebat diramalkan. – AFP
