Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Itali kemuka rayuan elak tarif tambahan AS terhadap import pasta

    ROME, 6 OKT – Itali telah mengemukakan rayuan kepada Washington dan Suruhanjaya Eropah untuk menghalang Amerika Syarikat (AS) daripada mengenakan tarif terhadap import pasta.

    Pada awal September lalu, Jabatan Perdagangan AS mengumumkan rancangan untuk mengenakan duti anti-lambakan sementara melebihi 91 peratus terhadap pasta bermula Januari 2026, selain 15 peratus sedia ada.

    Keputusan itu dibuat susulan siasatan berhubung dakwaan amalan ‘lambakan’ oleh beberapa jenama membabitkan eksport ke AS pada harga di bawah nilai pasaran.

    Kementerian Luar Itali dalam kenyataan berkata pihaknya ‘bekerjasama rapat dengan syarikat yang terlibat serta berunding dengan Suruhanjaya Eropah bagi memastikan jabatan berkenaan di AS menilai semula duti sementara yang dikenakan ke atas syarikat kami.’

    Kedutaan Itali di Washington juga telah campur tangan untuk ‘membantu syarikat dalam mempertahankan hak mereka,’ menurut satu kenyataan.

    Sumber sama menegaskan ‘kesediaan penuh pengeluar Itali untuk bekerjasama dalam siasatan yang sedang dijalankan.’

    Prospek pelaksanaan caj tambahan itu telah mencetuskan kritikan hebat di semenanjung berkenaan.

    Menteri Pertanian Itali, Francesco Lollobrigida mengecam tindakan tersebut sebagai ‘mekanisme hiperproteksionis terhadap pengeluar pasta mereka’. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda