ROM, 9 OGOS – Saham bank Itali menurun semalam selepas Kabinet meluluskan cadangan untuk mengenakan cukai 40 peratus ke atas beberapa keuntungan bank tahun ini bertujuan membantu pengguna dan perniagaan menghadapi kos pinjaman yang lebih tinggi.
Menteri Pengangkutan, Matteo Salvini mengumumkan cukai itu pada sidang media hari ini, berkata, ia adalah ukuran ‘ekuiti sosial’ untuk mengimbangi beberapa siri kenaikan kadar faedah daripada Bank Pusat Eropah.
Kenaikan itu bertujuan untuk memerangi inflasi dan menjadikannya lebih mahal untuk orang ramai mendapatkan pinjaman untuk membeli rumah dan kereta atau untuk syarikat mendapatkan peralatan baharu atau membina kemudahan.
Saham UniCredit ditutup merosot hampir 6 peratus, Intesa Sanpaolo turun lebih daripada 8.5 peratus, Banco BPM turun 9 peratus dan BPER serta Banca MPS kedua-duanya mengalamai penurunan hampir 11 peratus di Bursa Saham Milan.
Selepas pasaran ditutup semalam, Kementerian Kewangan Itali mempertahankan cukai itu selaras dengan ‘peraturan yang sedia ada di Eropah mengenai margin tambahan bank,’ dan berkata sumbangan daripada cukai baharu itu tidak boleh melebihi 0.1 peratus daripada jumlah aset bank, menurut kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita, LaPresse.

Persatuan Bank-Bank Itali belum lagi memberi komen secara terbuka mengenai kelulusan cukai itu yang nampaknya mengejutkan bank. Penganalisis berkata bank pasti akan cuba mengubah cadangan itu atau mencabarnya di mahkamah jika ia diluluskan oleh Parlimen, langkah seterusnya dalam proses itu.
Lima bank utama Itali melaporkan gabungan keuntungan bersih berjumlah AS$11.5 bilion pada separuh pertama tahun ini, meningkat 64 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2022, menurut agensi penarafan kredit, DBRS Morningstar. Ia menunjukkan pendapatan faedah yang lebih tinggi, yuran yang stabil, dan pengurusan kos yang baik.
Cukai 40 peratus akan dikenakan ke atas keuntungan bank daripada perbezaan antara faedah yang mereka bayar kepada pelanggan berdasarkan deposit dan faedah yang diperolehi mereka daripada pinjaman.
Salvini berkata hasil cukai akan berjumlah ‘beberapa bilion’ euro yang akan digunakan untuk membiayai potongan cukai dan membantu individu yang ingin memiliki rumah baharu mendapatkan gadai janji. – AP

