Sunday, July 13, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Itali pamer aksi lima bintang

    REGGIO EMILIA, 9 SEPT – Itali mempamerkan aksi mengagumkan apabila menewaskan Lithuania 5-0 dalam kelayakan Piala Dunia semalam dan mengekalkan rekod tanpa kalah kepada 37 perlawanan.

    Pasukan bimbingan Roberto Mancini yang juga juara Euro menjadi skuad pertama Itali berjaya meledakkan empat gol dalam masa 60 minit.

    Pemain muda Everton yang dipinjamkan kepada Juventus, Moise Kean meletakkan pendahulu Kumpulan C itu di depan pada awal perlawanan berikutan kesilapan Arvydas Novikovas yang melakukan hantaran ke belakang kepada penjaga golnya, Ernestas Setkus.

    Beberapa minit kemudian Giacomo Raspadori, yang membuat penampilan pertama antarabangsa di laman kelabnya Sassuolo, berjaya melakukan rembatan sebelum terkena Edgaras Utkus sekali gus dikira sebagai jaringan sendiri.

    Raspadori, yang kecewa selepas jaringan itu tidak dikira sebagai golnya, tidak perlu menunggu lama beliau kemudian dengan tenang melakukan penyudah jarak dekat selepas pertahanan, Justas Lasickas gagal mengeluarkan hantaran lintang dari Giovanni Di Lorenzo.

    Pada minit ke-29 Kean berjaya menyambut hantaran lintang dari Federico Bernardeschi dan melakukan rembatan voli kaki kiri untuk gol keempat Itali.

    Gol kelima Itali muncul melalui jaringan pertama Di Lorenzo di peringkat antarabangsa apabila hantaran lintang yang ingin dilakukannya terus menerjah jaring pasukan lawan.

    Mancini telah melakukan banyak perubahan barisan pasukannya selepas seri tanpa jaringan di Switzerland Ahad lalu, dengan pemain berusia 21 tahun Kean dan Raspadori diturunkan.

    Itali berada di tangga teratas kumpulan berkenaan selepas enam perlawanan dengan memungut 14 mata manakala Switzerland mengumpul lapan mata di tempat kedua namun masih mempunyai kelebihan dua perlawanan. – AFP

    Aksi penyerang Lithuania, Donatas Kazlauskas semasa bersaing dengan penyerang dari Itali, Giacomo Raspadori dalam perlawanan kelayakan Kumpulan C Piala Dunia di Stadium Citta del Tricolore di Reggio Emilia, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda