ROM, 19 NOV – Ahli Parlimen Itali hari ini meluluskan cadangan untuk meluaskan definisi keganasan seksual bagi merangkumi perbuatan tanpa persetujuan, dalam kerjasama luar biasa antara Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni dan pemimpin pembangkang, Elly Schlein.
Parti sayap kanan Meloni, Brothers of Italy, mengundi bersama Parti Demokratik (PD) yang dipimpin Schlein di dewan rendah parlimen untuk mengemas kini kanun jenayah bagi memudahkan pendakwaan kes rogol.
Bagi cadangan itu menjadi undang-undang, ia kini perlu dibentangkan untuk pengundian di Senat, di mana ia dijangka akan diluluskan.
Kes rogol kini ditakrifkan sebagai perbuatan yang dilakukan dengan paksaan fizikal, ugutan atau penyalahgunaan kuasa.
Penyokong undang-undang baharu itu berkata kemas kini ini akan memudahkan laporan dan pendakwaan kes serangan seksual, dengan menghapuskan keperluan mangsa menunjukkan tanda fizikal penderaan.
Undang-undang itu tidak menukar hukuman, yang mengekalkan penjara antara enam hingga 12 tahun.
Ahli Parlimen Parti Demokratik, Laura Boldrini, yang mencadangkan undang-undang itu, berkata ia diperlukan kerana di Itali ‘prasangka yang mempersalahkan wanita terhadap keganasan seksual terhadap wanita masih wujud.’
Meluaskan definisi rogol akan memberi ‘kepentingan kepada kehendak wanita dalam bidang seksual, yang sehingga kini masih dianggap secara budaya sebagai kurang penting’ kepada kehendak lelaki, katanya.
Ia juga akan menukar tumpuan perbicaraan kepada tingkah laku pesalah, dan bukannya menilai sama ada mangsa telah berusaha secukupnya untuk mempertahankan diri. – AFP

