Thursday, December 26, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Itali singkir Argentina di Piala Davis

    MALAGA, 22 NOV – Pemain nombor satu dunia, Jannik Sinner berjaya meraih kemenangan dalam acara perseorangan dan beregu untuk membantu juara Piala Davis, Itali menewaskan Argentina, 2-1 kelmarin untuk mara ke separuh akhir.

    Itali akan menentang Australia selepas mereka sebelum ini menewaskan pemenang rekod 32 kali, Amerika Syarikat dengan kemenangan 2-1.

    Sinner telah memenangi dua Grand Slam pertamanya musim ini, serta menang di Final ATP minggu lalu tanpa tewas satu set, dan mengalahkan Sebastian Baez, 6-2, 6-1 selepas Francisco Cerundolo dengan selesa menewaskan Lorenzo Musetti, 6-4, 6- 1 dalam perlawanan pembukaan.

    Dalam perlawanan beregu yang menentukan, Sinner dan Matteo Berrettini menewaskan Andres Molteni dan Maximo Gonzalez, 6-4, 7-5 untuk mara ke peringkat seterusnya.

    “Jika mereka menurunkan saya dalam acara beregu, saya akan cuba yang terbaik,” kata Sinner.

    “Matteo bermain dengan luar biasa hari ini, dia yang memimpin saya,” ujarnya.

    Itali menempah kemenangan ketiga berturut-turut ke separuh akhir dan menjadi pilihan untuk memenangi Piala Davis untuk tahun kedua berturut-turut, tidak kurang juga kerana kehadiran Sinner yang menjadi faktor penting.

    Pemain berusia 23 tahun itu masih menunggu keputusan rayuan daripada Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) terhadap pembebasan awalnya setelah dua kali diuji positif untuk kesan clostebol steroid pada Mac.

    Sinner menewaskan Novak Djokovic dalam acara perseorangan dan beregu pada separuh akhir tahun lalu, membantu Itali menamatkan penantian selama 47 tahun untuk menjulang trofi itu semula.

    “Saya tidak mempunyai masa untuk menyesuaikan diri di gelanggang ini (selepas Final ATP) jadi saya sangat gembira dengan cara saya mengendalikan situasi hari ini,” kata Sinner kepada pemberita. – AFP

    Reaksi Matteo dan Sinner meraikan kemenangan semasa perlawanan suku akhir Piala Davis di arena Palacio de Deportes Jose Maria Martin Carpena di Malaga , selatan Sepanyol pada 21 November. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda