Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Itali tempah slot final Piala Davis

    MALAGA, 26 NOV – Jannik Sinner ‘berasa bangga’ menewaskan pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic dua kali dalam satu hari, sekali gus membawa Itali ke final Piala Davis dengan kemenangan 2-1 ke atas Serbia di Malaga kelmarin.

    Pasukan Itali, yang terakhir kali menjulang trofi pada tahun 1976, akan berdepan juara 28 kali, Australia, hari ini.

    Sinner, yang kini telah menang tiga kali dalam empat pertembungan sepanjang 11 hari menentang Djokovic yang biasanya tidak tewas, berjaya mengekalkan Itali dalam perlawanan dengan menewaskan pemenang Grand Slam 24 kali itu dengan keputusan 6-2, 2-6, 7-5 dalam saingan perseorangan kedua.

    Sinner dan Lorenzo Sonego kemudian menewaskan Djokovic dan Miomir Kecmanovic 6-3, 6-4 dalam beregu untuk meraih kemenangan, selepas Kecmanovic mengalahkan Lorenzo Musetti 6-7 (7/9), 6-2, 6-1 pada aksi pembukaan.

    Pemain nombor empat dunia, Sinner menyelamatkan tiga mata penamat ketika berdepan Djokovic dalam acara perseorangan, dengan pemain berusia 36 tahun itu beraksi dengan prestasi cemerlang.

    “Saya betul-betul berbangga dengan cara saya mengendalikan situasi itu,” kata Sinner.

    “Esok kami mempunyai peluang hebat, kami tahu tetapi kami cuba untuk kekal tenang.”

    Djokovic, yang telah memenangi tujuh gelaran tahun ini termasuk tiga Grand Slam, menyasarkan untuk membawa juara Serbia ke final buat kali pertama dalam sedekad.

    Bagaimanapun, Sinner mencatat kemenangan terbesar dalam kariernya, menjadi pemain pertama yang menewaskan Djokovic dalam perlawanan perseorangan di Piala Davis sejak pemain Argentina, Juan Martin del Potro pada 2011, justeru menamatkan rentetan 21 perlawanan. – AFP

    Aksi Sinner semasa kejohanan tenis Piala Davis di dewan sukan Martin Carpena, di Malaga, baru-baru ini. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda